Wanita Mengedar Dadah
KUALA LUMPUR 25 Sept. – Kehidupan mewah seorang wanita berusia 33 tahun dengan memiliki sebuah kereta jenis Nissan Fairlady Z terbongkar apabila dia ditahan polis kerana didapati mengedar dadah. Suspek ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Petaling di sini, kira-kira pukul 9.40 malam Selasa lalu.
Hasil pemeriksaan polis menemui dua bungkus ketamin seberat 1.1 kilogram, 50 gram syabu dan 30 biji pil Eramin 5 bernilai kira-kira RM25,000 dalam dua bekas makanan yang dibawanya.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, selain mengedar dadah, suspek turut memiliki sebuah kedai minuman di Puchong.
“Polis turut merampas telefon bimbit, kereta mewah jenis Fairlady Z dan wang tunai sejumlah RM5,440 milik suspek,” katanya pada sidang akhbar di IPD Brickfields di sini hari ini.
Tambahnya, susulan penahanan itu, polis telah melakukan pemeriksaan ke atas rumah mewah suspek di Puchong dan menemui lagi 50 gram ketamin di dalam bilik tidurnya.
Beliau berkata, suspek telah direman selama seminggu sehingga 28 September ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.