Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)

Diterbitkan: 21 Mar 2026 8.18 PM Dikemas kini: 22 Sep 2026 10.27 PM
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/jsjn-pdrm-penguatkuasaan-dadah
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 23/09/2026 01:41 MYT

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM ditubuhkan bagi menguatkuasakan undang-undang berkaitan dadah bagi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah. 

PENDAHULUAN

Sejarah kemasukkan dadah di Malaysia bermula pada awal abad ke 19, sewaktu era penjajahan British di Tanah Melayu. British telah membawa pendatang Cina dan India Selatan untuk dijadikan buruh dalam sektor perladangan dan perlombongan.

Buruh Cina yang bekerja di ladang lada hitam, ladang getah dan lombong bijih telah membawa bersama tabiat menghisap candu ke Tanah Melayu. Candu berfungsi untuk membantu mereka menghilangkan kesakitan dan mengisi masa lapang. Buruh India Selatan pula bekerja di ladang getah. Mereka bertanggungjawab membawa dadah ganja ke Tanah Melayu. Dadah ganja juga berfungsi untuk membantu mereka meneruskan kerja berat dan mengisi masa lapang.

Pada penghujung abad ke 19, penagihan dadah candu dan ganja mula menjadi masalah. Pada tahun 1910, kerajaan penjajah mula mengawal pengimportan dan penjualan dadah candu dengan mewujudkan kedai-kedai candu kerajaan. Penagihan dan penjualan candu dibenarkan ke atas penagih dan kedai berdaftar sahaja dan dikenakan cukai.

Pada tahun 1925, dalam Konvensyen Geneva Mengenai Candu telah memutuskan penjual candu hanya boleh menjual candu kepada penghisap candu berdaftar sahaja. Pada tahun 1934 pula, Suruhanjaya Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menetapkan bahawa penjualan candu dibenarkan kepada pengamal-pengamal perubatan yang diperakukan sahaja. Dalam tahun 1945, selepas Perang Dunia Ke Dua, penjualan dan penghisapan candu telah diharamkan.

Menjelang tahun 1950an, masalah penyalahgunaan dadah semakin berleluasa. Peraturan yang diguna pakai mendaftar peniaga dan penagih dadah tidak berkesan mengawal masalah dadah. Sehubungan itu, pada tahun 1952 Kerajaan British telah menggubal Ordinan Dadah Berbahaya 1952 bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah dan ordinan ini digunakan sehingga ke hari ini dengan pindaan demi pindaan.

Bermula dari tahun 1960-an, dadah morfin dan dadah heroin mula memasuki pasaran dan permintaan Negara. Dadah morfin diterbitkan daripada candu bagi tujuan perubatan tetapi kemudiannya telah disalahgunakan. Dadah heroin yang berasaskan candu kemudiannya dicipta bagi menghapuskan ketagihan dadah morfin.

Kegilaan kepada budaya hippies telah menularkan penyalahgunaan dadah morifin dan heroin terutamanya di Pulau Pinang. Dadah ini turut dibawa masuk oleh Tentera Marin Amerika yang datang melancong sewaktu Perang Vietnam.


SEJARAH PENUBUHAN JSJN

Masalah penyalahgunaan dadah ganja dan heroin dalam negara semakin membimbangkan. Pada tahun 1971 Kementerian Pelajaran telah memainkan peranan aktif dalam pengajaran pendidikan pencegahan dadah dengan menubuhkan Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan memasukkan ceramah mengenai penyalahgunaan dadah oleh pakar jiwa yang terkenal sebagai sebahagian subjek penting dalam Kursus Dalam Perkhidmatan kakitangan sekolah menengah.

Pada tahun 1972 kerajaan telah mewujudkan Pusat Biro Narkotik di bawah Kementerian Kehakiman bagi melaksanakan penguatkuasaan, perundangan, pencegahan dan penyelidikan berkaitan dengan masalah dadah. Kekuatannya terdiri daripada 52 orang pegawai dari PDRM, Kastam, Pegawai Kebajikan dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik. Biro ini mula beroperasi pada Januari 1973 yang diwujudkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Alor Setar, Johor dan Kota Bharu.

Pada tahun 1975 Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan Surat Ikhtisas bagi tujuan pemantauan dan pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah kepada kakitangan kementerian terutamanya kakitangan sekolah. Perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah mula diwujudkan pada tahun 1975 di mana tugas ini diletakkan di bawah Kementerian Kebajikan Masyarakat kerana penagihan dadah di anggap satu masalah sosial. Pada tahun yang sama kerajaan telah meluluskan penubuhan Cawangan D8, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM yang terdiri daripada 50 orang pegawai dan anggota bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah dengan menguatkuasakan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 30 Julai 1979 Pusat Biro Narkotik telah dibubarkan dan berikutan dengan itu, pada 1 Januari 1980 Jabatan Perkhidmatam Awam telah meluluskan Waran Perjawatan 141/80 bagi pembesaran Cawangan D8 yang diberi nama baru iaitu Cawangan Anti Dadah. Perjawatan yang diluluskan sebanyak 1,778 pegawai, anggota dan kakitangan awam.

Pada tahun 1983 perkara yang berkaitan dengan penagihan dadah telah diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN). Pada 19 Febuari 1983, Perdana Menteri Malaysia telah mengisytihar dan melancarkan Kempen Anti Dadah Peringkat Kebangsaan dan dalam masa yang sama telah mengisytiharkan dadah sebagai ’musuh nombor satu’ negara. Apabila masalah berkaitan dengan penyalahgunaan dadah diletakkan di bawah KDN, PDRM diberi tanggungjawab penuh menangani masalah dadah negara. Dalam masa yang sama, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Anti Dadah di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Pada tahun 1983 juga kerajaan telah meluluskan Akta Dadah Berbahaya (Rawatan dan Pemulihan) (Akta283) untuk menangani masalah penagih dadah yang semakin meningkat. Ia diikuti dengan penubuhan Pusat Serenti sebagai pusat rawatan bagi penagih dadah di mana KDN diberi tanggungjawab mengawalselia pusat ini di bawah seorang Komandan dari Pegawai KDN dan Polis.

Pada tahun 1985 kerajaan telah meluluskan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas)(Akta 316). Ia merupakan satu akta bagi membuat peruntukkan mengenai tahanan pencegahan orang-orang yang ada kaitan dengan apa-apa aktiviti berhubung dengannya atau yang melibatkan pengedaran dadah berbahaya. Akta ini berkuatkuasa pada 15 Jun 1985 bagi menggantikan Ordinan (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) Darurat 1969.

Selain daripada akta-akta di atas PDRM juga bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Racun 1952. Kemudian pada tahun 1988 satu akta lagi diluluskan dikenali Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakkan Harta) 1988 (Akta 340). Selepas tarikh tersebut tiada perkembangan lanjut berkaitan dengan masalah penyalahgunaan dadah sehinggalah apabila masalah ini semakin kritikal kerana dadah menjadi satu perniagaan yang menguntungkan dan apabila  masalah penagihan yang semakin serius, pada 2 Januari 1996, Cawangan Anti Dadah yang diletakkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah telah disusun semuladi bawah Modul Struktur Organisasi Baru (MSOB) pada tahun 1996 dan dikenali sebagai Jabatan Narkotik PDRM yang diterajui oleh seorang Pengarah berpangkat Deputi Comesioner Polis (DCP) diikuti dengan pengwujudan Ketua Jabatan Narkotik Negeri dan Ketua Bahagaian Narkotik Daerah.

Pengarah pertama JN ialah DCP G/5444 Dato Salleh Bin Mat Som (15 Januari 1996 hingga 1 Disember 1997). Kemudian teraju JN diambil alih oleh DCP G/5704 Dato Maizan Bin Shaari (16 Febuari 1997 hingga 5 Oktober 1998). Dari 1 April 1999 hingga 1 Oktober 1999 sekali lagi DCP Dato Salleh Bin Mat Som menerajui JN. Pada 1 Oktober 1999 hingga 13 Julai 2002 JN dipimpin oleh DCP G/5708 Dato Mohd Sedek Bin Mohd Ali. Sekali lagi kepimpinan JN bertukar tangan pada 13 Julai 2002 hingga 16 Januari 2004 apabila DCP G/5706 Dato Mamat Bin Talib dilantik sebagai Pengarah JN yang kelima .

Pada 16 Januari 2004, JN mendapat kepimpinan baru apabila seorang pegawai yang telah lama menabur bakti di dalam JN dilantik sebagai pengarah baru iaitu YDH DCP G/5262 Dato Mohd Najib Bin Abdul Aziz. Di bawah kepimpinan beliau, Jabatan Narkotik telah dijenamakan semula sebagai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dengan mengambil kira cabaran semasa dan bersandarkan kepada fakta, semua kesalahan di bawah undang-undang dadah adalah kesalahan berdaftar. Sejarah ini tercatat pada 25 Mei 2005. Pada 26 Mei 2006, Jabatan Perkhidmatan Awam telah meluluskan Waran Perjawatan K 47 tahun 2006 berkuatkuasa 1 Mei 2006 di mana Pengarah JSJN telah dinaik taraf daripada Deputy Commissioner Polis kepada Commissioner Polis dan sekali lagi YDH CP Dato Mohd Najib Bin Abdul Aziz meneruskan teraju kepimpinan JSJN.


VISI

“Menjadikan JSJN sebagai agensi penguatkuasaan utama yang berintegriti, kompeten dan komited, bersama-sama masyarakat ke arah pembanterasan dan penyalahgunaan dadah melalui penguatkuasaan undang-undang dengan melenyapkan permintaan dan pembekalan dadah, menjelang tahun 2015.”


MISI

“Menjadikan JSJN sebagai agensi penguatkuasaan utama yang berkeupayaan, bersama-sama masyarakat, untuk :-

        1. Menghapuskan bekalan dadah

        2. Menghapuskan permintaan dadah dan

        3. Memerangi anasir-anasir  penyalahgunaan dadah.”


Di dalam melaksanakan Misi JSJN beberapa  fungsi telah diberi keutamaan, diantaranya :-

·       1. Menguatkuasa  Akta-Akta berkaitan Dadah Negara.

·       2. Menjalankan risikan, mengumpul, menganalisa dan menyebarkan maklumat dadah.

·       3. Menangani penyeludupan dadah dan prekursor.

·       4. Menjalankan program membanteras penyalahgunaan dadah dengan agensi dadah dalam dan luar negara.


STRATEGI

“Strategi JSJN ialah menghapuskan permintaan dan bekalan dadah melalui penguatkuasaan undang-undang dan risikan. Pertukaran maklumat dan kerjasama dengan agensi dadah negara lain melalui perhubungan antarabangsa. Tindakan utama bagi menangani kegiatan penyeludupan dadah ialah dengan memperkuat dan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan untuk mencegah kemasukan dadah ke dalam negara melalui jalan darat, laut dan udara. Di samping itu, usaha penguatkuasaan yang agresif diteruskan di dalam negara untuk membanteras pengedaran, penjualan, pengawalan dalam pemesongan precursor dan makmal haram memproses dadah.”



ArtikelDiterbitkan 21 Mar 2026 8.18 PMDikemas kini 22 Sep 2026 10.27 PM