Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Ah Long Diberkas

Diterbitkan: 13 Jun 2014 2.32 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Polis merampas pelbagai barangan digunakan oleh ah long berkenaan serta 805 keping gambar peminjam dan wang tunai kira-kira RM27,000...
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/ah-long-diberkas
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 13:40 MYT

PULAU PINANG 1 Oktober 2009 (Utusan Malaysia) - Seramai 26 ah long dan pembantu mereka yang dikesan aktif menjalankan kegiatan ceti haram di negeri ini, membabitkan transaksi lebih RM15 juta diberkas dalam 20 serbuan sejak Julai lalu sehingga kini.

Dalam operasi membanteras habis-habisan ah long itu, sebanyak 14 kertas siasatan dibuka dan tiga daripadanya telah dicadangkan untuk didakwa di mahkamah.

YDH Dato' Ayub Yaakob, Ketua Polis Pulau Pinang  berkata, kesemua mereka termasuk seorang wanita yang ditahan itu berusia antara 20 dan 50 tahun. Katanya, kejayaan itu diperoleh setelah pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi menangani kegiatan ah long di negeri ini.

"Seramai 1,700 orang peminjam daripada pelbagai peringkat umur berjaya dikesan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik.

Menurut Dato' Ayub, dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan digunakan oleh ah long berkenaan serta 805 keping gambar peminjam dan wang tunai kira-kira RM27,000.

Selain itu, katanya, 91 keping kad mesin juruwang automatik (ATM) milik peminjam, 79 unit telefon bimbit, 25 helai salinan kad pengenalan peminjam dan 15 buku akaun pelbagai bank milik peminjam.

"Polis juga merampas komputer, mesin faks, komputer riba, barangan kemas termasuk rantai dan cincin milik peminjam yang digunakan sebagai cagaran, geran tanah dan lima keping cek tunai berjumlah RM10,500.

"Selain itu, sebanyak 45,880 keping iklan pelekat, 52 helai kertas senarai nama peminjam, 152 keping kad pembayaran pinjaman dan 10 buah fail yang mengandungi surat tawaran, permohonan pinjaman dan lejar akaun peminjam," katanya.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati, kebanyakan peminjam adalah terdiri daripada pekerja kilang berpendapatan rendah dan mereka yang memerlukan bantuan kewangan segera.

Katanya, siasatan polis juga mendapati, dua modus operandi yang digunakan ah long terlibat adalah memberi pinjaman dengan meletakkan cagaran seperti barang kemas atau geran tanah.

Pada masa sama, katanya, terdapat juga ah long yang menggunakan kad kredit untuk memberikan pinjaman wang tunai dengan mengeluarkan resit membabitkan transaksi barangan tidak wujud.

"Jika sabit kesalahan ah long yang ditahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi dan Peminjam Wang 1951 iaitu denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Saksi pula boleh dipanggil memberi keterangan mengikut Seksyen 10C (1)(a) Akta Pemberi dan Peminjam Wang 1951 dan jika ingkar adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 10C(8) akta sama iaitu denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 15 bulan atau keduanya sekali," ujarnya.

ArtikelDiterbitkan 13 Jun 2014 2.32 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM