Tujuh Lelaki Anggota Kumpulan Bersenjata Ditahan
Tujuh Lelaki Anggota Kumpulan Bersenjata Ditahan
Shah Alam, 15 April - Polis menahan tujuh lelaki disyaki anggota kumpulan
samun bersenjata di Petaling Jaya dan Puchong bulan lepas, dan percaya
dapat menyelesaikan 81 kes samun di sekitar Lembah Klang sejak 2011.
Ketua
Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata kesemua lelaki yang
berusia antara 21 dan 30 tahun itu, yang dipercayai kumpulan samun menggunakan topeng ski dan bersarung tangan, ditahan dalam empat serbuan pada 27 Mac dan 28 Mac lepas.
"Kesemua
mereka ditahan hasil penubuhan pasukan petugas ekoran kejadian samun
bersenjata di Putra Heights pada 25 Mac lepas, yang menyebabkan seorang
ahli perniagaan wanita kerugian RM20,000," katanya pada persidangan
berita di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari
ini.
Beliau
berkata polis menahan tiga lelaki di Flat Kinrara, Puchong, dalam
tangkapan pertama dan masing-masing seorang di USJ 1 dan Bandar Sunway
di Petaling Jaya dan dua lagi lelaki ditangkap di Pelabuhan Klang.
Tun
Hisan berkata kesemua yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau,
termasuk seorang daripadanya memiliki 11 rekod jenayah seperti kes
samun, memiliki senjata berbahaya dan pecah rumah. Dua lagi didapati
positif dadah, katanya.
Beliau
berkata polis turut merampas barangan kemas bernilai lebih RM100,000,
wang tunai berjumlah RM7,000, telefon bimbit, parang, topeng ski, sarung
tangan dan pengikat kabel, yang dipercayai digunakan untuk mengikat
mangsa.
Polis
juga merampas sebuah kereta jenis Honda City dengan nombor pendaftaran
palsu, yang digunakan oleh kumpulan berkenaan semasa melakukan jenayah.
Tun
Hisan berkata berdasarkan surat pajak gadai yang dirampas daripada
kumpulan itu, polis menahan seorang pengusaha pajak gadai di Petaling
Jaya bagi membantu siasatan kes berkenaan, terutama membabitkan urusan
jual beli barangan kemas yang dicuri.
Beliau
juga berkata dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis yakin berjaya
menyelesaikan 81 kes samun bersenjata di Klang Selatan (27 kes), Serdang
(15 kes), Subang Jaya (11 kes), Klang Utara (sembilan kes), Gombak
(tujuh kes), Shah Alam (enam kes), Petaling Jaya (empat kes) dan dua kes
di Kajang.
Sehubungan
itu, beliau berkata polis meminta orang ramai yang menjadi mangsa samun
kumpulan bertopeng ski di kawasan terbabit supaya menghubungi pengawai
penyiasat Inspektor Heirme Che Mad di talian 014-2389157 untuk
pengecaman barangan kes.- BERNAMA