
Artikel
Timbalan Kpn Rasmi Mesyuarat Agung Masjid Bukit Aman Tahun 2023
Kuala Lumpur, 29 Ogos 2023 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN) merangkap Penasihat Jawatankuasa Pentadbir Masjid Bukit Aman, DIG Dato’ Sri Ayob Khan M...
Kuala Lumpur, 29 Ogos 2023 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN) merangkap Penasihat Jawatankuasa Pentadbir Masjid Bukit Aman, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir merasmikan mesyuarat agung masjid berkenaan bagi sesi tahun 2023 di Dewan Serbaguna, Masjid Bukit Aman di sini petang tadi.
Ketibaan Dato’ Sri Ayob Khan disambut oleh Timbalan Pengarah (Agama & Kaunseling) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, DCP Dato’ Hj. Ghazali Hj. Daud merangkap Imam Besar Masjid Bukit Aman bersama Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, DCP Datuk Zainudin Ahmad.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Sri Ayob Khan menyeru agar ahli jawatankuasa masjid memperbanyakkan lagi majlis-majlis ilmu dan agama.
Beliau turut mencadangkan agar suntikan innovasi dan pembaharuan dilakukan bagi menarik minat masyarakat khususnya golongan belia mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti.
Perjalanan mesyuarat seterusnya dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus/Kepolisan Am) JIPS Bukit Aman merangkap Pengerusi Masjid Bukit Aman, SAC Afandi Senin.
Antara intipati mesyuarat tadi ialah mengenai pembentangan dan pengesahan laporan aktiviti masjid yang dilaksanakan sepanjang tahun 2021 dan 2022, serta laporan kewangan bagi tempoh masa yang sama.
Hadir sama, Ketua Urusetia KPN (Pentadbiran), SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah, Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling) JIPS Bukit Aman, SAC Hj. Khair Hj. Othman, Ahli-ahli Jawatankuasa Pentadbir Masjid Bukit Aman, para pegawai kanan, pegawai rendah polis dan pegawai awam Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery






