Tiga Termasuk Anggota Gang 08 Diberkas Dipercayai Pengedar D
Temerloh,
20 Sept - Tiga lelaki, seorang daripadanya dipercayai anggota kumpulan
kongsi gelap, Gang 08, diberkas dalam operasi Ops Cantas di sini Isnin
lepas.
Ketua
Polis Daerah Temerloh ACP Abdul Aziz Salleh berkata polis turut menemui
219.16 gram dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM15,000 di bawah
karpet tempat duduk penumpang kereta dinaiki tiga lelaki itu.
"Ketiga-tiga
suspek berusia 30 hingga 46 tahun itu ditahan pada pukul 8.10 malam 16
Sept lepas di sebuah stesen minyak di Batu Tiga, Jalan Mentakab-Temerloh
oleh pasukan polis yang menjalankan rondaan," katanya kepada pemberita
di sini, hari ini.
Beliau
berkata ketiga-tiga lelaki yang beralamat di Cheras, Selangor, sebelum
itu dilihat sedang menaiki kereta jenis Nissan Livina berwarna kelabu
dalam keadaan mencurigakan.
"Pihak
polis melepaskan satu das tembakan amaran dan mengenai bahagian tayar
kereta itu setelah kereta berkenaan cuba melarikan diri selepas merempuh
kereta polis itu," katanya.
Ketiga-tiga mereka yang dipercayai pengedar dadah kemudiannya berjaya diberkas.
"Seorang
daripada suspek berumur 36 tahun dipercayai anggota kumpulan Geng 08
berdasarkan lambang tatu naga dan lipan pada badan," katanya.
Beliau berkata dadah berkenaan dipercayai untuk diedarkan di sekitar Temerloh.
"Semua
suspek kini ditahan reman sehingga 23 September ini untuk disiasat di
bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sumber : BERNAMA