Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Tiga Lelaki Ditahan Dipercayai Terlibat Sindiket Penipuan

Published: 17 Jun 2014 6.21 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
'Modus operandi sindiket ini ialah menjalankan sebuah syarikat yang baharu didaftarkan dan aktif membeli barang-barang seperti tayar kereta, minyak pelincir, alat gantian kereta dan peralatan membaiki..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/tiga-lelaki-ditahan-dipercayai-terlibat-sindiket-penipuan
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 02:26 MYT

Ipoh, 27 Jun - Tiga lelaki ditahan di sekitar Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 17 Jun lepas dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan 'fly by night' atau 'terbang malam' di Perak sejak Mei lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata suspek yang berusia antara 34 dan 60 tahun itu ditahan berikutan 14 laporan polis daripada peniaga dan jurujual syarikat yang ditipu membabitkan kerugian kira-kira RM130,000.

"Modus operandi sindiket ini ialah menjalankan sebuah syarikat yang baharu didaftarkan dan aktif membeli barang-barang seperti tayar kereta, minyak pelincir, alat gantian kereta dan peralatan membaiki kenderaan.

"Semua urusan pembelian dibayar dengan menggunakan cek tertunda dan mangsa kemudiannya tidak dapat menunaikan cek kerana akaun telah ditutup," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata selepas kira-kira dua bulan beroperasi, pejabat syarikat itu dikosongkan dan semua pekerja dan pemilik syarikat menghilangkan diri.

"Sindiket ini menggunakan proksi untuk mendaftarkan syarikat serta membuka akaun bank. Kebiasaannya, proksi ini merupakan seorang penagih dadah yang sanggup menjual identitinya dengan sedikit imbuhan," katanya.

Mohd Shukri berkata kesemua suspek direman selama tiga hari bermula Selasa lepas untuk membantu siasatan.
 
Sumber : BERNAMA

ArticlePublished 17 Jun 2014 6.21 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM