36 Ditahan Dalam Serbuan Premis Judi
Kuantan,
27 Jun - Tiga puluh enam individu termasuk 25 pelanggan ditahan dalam
operasi membanteras kegiatan perjudian Internet di Kuantan, malam
semalam.
Dalam
operasi bermula 8 malam itu, polis menyerbu tujuh premis di sekitar
bandar Kuantan dalam usaha membanteras kegiatan berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff, sebanyak 177 unit komputer yang dipercayai menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen dirampas termasuk wang tunai berjumlah RM2,351.
"Daripada
36 yang ditahan itu, 11 adalah penjaga premis termasuk dua wanita
manakala 25 lagi adalah pelanggan," katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Beliau
berkata premis yang diserbu tersebut didapati tidak memiliki lesen
sebagai kafe siber serta dipercayai menjalankan aktiviti perjudian
Internet sejak beberapa bulan lalu.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 & Seksyen 4(1) b Enakmen Hiburan 1993.
Sumber : BERNAMA