Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Tiga Anggota Polis Terima Surat Perhargaan Daripada Seorang

Diterbitkan: 17 Jun 2014 5.41 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
'Yang mengejutkan, saya sudah nampak iPad dan barangan kepunyaan saya di atas meja di balai polis sebelum saya sempat menandatangani laporan yang dibuat di Balai Polis Buloh Kasap,' katanya...
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/tiga-anggota-polis-terima-surat-perhargaan-daripada-seorang
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 07:07 MYT

Segamat, 19 Jun - Seorang ahli perniagaan menyerahkan surat penghargaan kepada tiga anggota polis sebagai tanda berterima kasih atas kejayaan mereka memberkas tiga penjenayah yang memecah masuk ke rumahnya di Buloh Kasap semalam.

Lim Teong Leng, 53, menyerahkan surat itu kepada Ketua Polis Balai Buloh Kasap Sarjan Mejar Ibrahim Isa, Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat Inspektor Azuan Ismail serta Koperal Zulnizam Mohd Said di Bilik Gerakan IPD di sini hari ini. Majlis penyampaian itu disaksikan Ketua Polis Daerah Segamat Superinten Mohd Kamil Sukarmi.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Lim berkata beliau amat gembira dengan kejayaan itu kerana semua barangan berharga miliknya yang dianggar bernilai RM14,000 ditemui semula dalam tempoh singkat.

"Yang mengejutkan, saya sudah nampak iPad dan barangan kepunyaan saya di atas meja di balai polis sebelum saya sempat menandatangani laporan yang dibuat di Balai Polis Buloh Kasap," katanya.

Sementara itu, Mohd Kamil berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada Lim yang memaklumkan rumahnya dipecah masuk petang semalam.

Susulan itu, polis melancarkan gerakan dan mengesan sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki tiga lelaki di kawasan perumahan di Buloh Kasap.

Beliau berkata polis kemudian menahan ketiga-tiga lelaki itu, yang berusia lingkungan 28 hingga 32 tahun dan berasal dari Johor Baharu serta Batu Caves, Selangor.

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu, polis menemui seutas rantai emas, satu jam tangan emas, dua iPad, 10 telefon bimbit dan pelbagai peralatan pecah rumah. Barangan itu adalah yang disamun dari rumah Lim satu jam setengah sebelum itu," katanya.

Mohd Kamil berkata seorang daripada suspek dikehendaki polis Batu Pahat dan Nusajaya, dan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sumber : BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 17 Jun 2014 5.41 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM