Culik Warga Bangladesh Polis Tahan Empat Suspek Termasuk Wa
Petaling
Jaya, 18 Jun - Polis menyelamatkan seorang lelaki warga Bangladesh yang
menjadi mangsa culik selepas tertangkapnya empat suspek termasuk
seorang wanita tempatan dalam kejadian Selasa lepas.
Ketua
Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata kesemua suspek
termasuk dua lelaki warga Bangladesh, berumur 34 hingga 41 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Bukit Puchong yang dijadikan lokasi bagi mengurung mangsa.
Katanya
kumpulan itu didakwa meminta wang tebusan sebanyak RM150,000 daripada
isteri mangsa yang berada di Bangladesh bagi membebaskan suaminya.
"Pada
12 Jun lepas, isteri mangsa menghubungi rakan suaminya yang berada di
negara ini memaklumkan suaminya diculik sejurus tiba di lapangan terbang
negara ini sehari sebelum itu," katanya pada sidang media di sini hari
ini.
Yahaya
berkata polis yang menjalankan siasatan pada hari yang sama berjaya
menahan keempat-empat mereka dan sedang menjejaki tiga lagi rakan
sejenayah mereka.
"Kita
menerima maklumat awal daripada pengadu dan disebabkan itu kita dapat
bertindak dengan lebih cepat untuk menyelamatkan mangsa," katanya.
Sementara
itu, dalam kes berasingan, empat warga Nigeria termasuk seorang wanita
dicekup selepas terlibat dalam kegiatan penipuan kiriman bungkusan di
sebuah kondominium di Seksyen 19, di sini 7 Jun lepas.
Yahaya
berkata selain tangkapan ke atas suspek berumur antara 21 dan 38 tahun
itu, polis turut merampas barangan yang digunakan antaranya telefon
bimbit, komputer riba, dokumen palsu kerajaan dan wang tunai asing,
dalam serbuan 8.30 pagi itu.
"Tangkapan
ini susulan satu kes terbaru yang berlaku ke atas seorang wanita
tempatan selepas mendakwa ditipu empat warga Nigeria terbabit. Wanita
tersebut mengenali seorang lelaki kononnya warga Amerika Syarikat
melalui sebuah laman web," katanya.
Yahaya
berkata 'lelaki' itu kemudian meminta mangsa memasukkan wang tunai
RM5,200 ke dalam akaun bank tempatan bagi melepaskan beberapa barangan,
termasuk komputer riba dan wang tunai US$6.3 juta yang ingin diberinya
kepada wanita itu, daripada pihak kastam.
Beliau
berkata mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menyedari ditipu
lelaki terbabit, katanya sambil menambah keempat-empat suspek yang
menggunakan pas pelajar, direman sehingga 27 Jun depan untuk siasatan
lanjut.
- BERNAMA