Sindiket Rompak Dan Pecah Rumah Di Miri Tumpas
Miri,
14 Mei - Lima lelaki ditahan dan polis merampas pelbagai barangan
dipercayai barangan curi bernilai lebih RM190,000 dalam operasi polis di
beberapa lokasi bermula semalam.
Berikutan
penahanan lima lelaki tempatan berusia antara 31 dan 43 tahun itu,
polis percaya dapat menyelesaikan beberapa siri rompakan dan pecah rumah
termasuk kes terbaharu di Desa Senadin fasa 2 Jumaat lepas.
Antara
barangan curi yang dirampas ialah sebuah kenderaan pacuan empat roda
jenis Toyota Fortuner, kata Ketua Polis Miri ACP Mun Kock Keong pada
sidang akhbar di sini hari ini.
"Kami
minta sesiapa yang pernah menjadi mangsa rompakan, pecah rumah dan
pecah kereta hadir ke balai polis sentral polis Miri untuk mengenalpasti
barangan curi yang dtemui semula oleh polis," katanya.
Sementara
itu, Mun berkata polis sedang memburu dua lelaki rakyat tempatan Yeo
Chee Ann@Ah Ann, 29, beralamat terakhir di Lot 396 Jalan Kampung Sibiew
Bintulu dan Ting Sing Loong@Ah Loon, 36, beralamat terakhir no 44 Taman
Ria Tanjung Batu Bintulu bagi membantu siasatan kes curi kenderaan.
"Kedua-dua
suspek ini mempunyai rekod jenayah curi kenderaan dan sesiapa yang
mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi Sjn Karam di talian
016-641556," katanya.
Beliau
berkata kedua-dua lelaki itu disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan
pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero 11 Mei lepas di Pusat
Komersial Pelita di sini.
"Mitsubishi
Pajero itu berjaya ditemui semula pada keesokan harinya di tempat letak
kereta Bintang Megamall dan seorang lelaki rakyat tempatan berusia 25
tahun ditahan pada hari sama di tempat letak kereta itu," katanya. -
BERNAMA