Pasukan Khas Ditubuh Di Setiap Kontijen Siasat Jenayah Senja
Kuala
Lumpur, 14 Mei - Polis melancarkan gerakan besar-besaran memburu
kumpulan penjenayah yang membunuh sasaran dengan senjata api menerusi
penubuhan pasukan khas di setiap kontinjen negeri.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin
memberitahu Bernama langkah segera itu yang dibuat susulan banyak kes bunuh menggunakan senjata api mutakhir ini, menunjukkan keseriusan polis menangani kejadian tersebut.
Menurut
Mohd Bakri, pasukan khas itu diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian
Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.
"Polis akan pantau pergerakan serta fokus kepada siasatan dalam kes tembak yang telah berlaku," katanya.
Insiden
menembak mati individu termasuk berprofil tinggi menimbulkan kegusaran
umum seperti kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam
(Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak
ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April lalu.
Semalam,
seorang lelaki cedera parah selepas terkena dua das tembakan dalam
kejadian di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Dato Suleiman,
Johor Baharu, Johor.
Dua
hari lepas dua lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas
ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bukit Tambun,
Pulau Pinang, dipercayai berkaitan perniagaan.
Mohd Bakri yakin pasukan khas yang ditubuhkan itu dapat menyelesaikan beberapa kes sedemikian dalam masa terdekat.
Menurut
rekod Bukit Aman, sepanjang 2012 Selangor merekodkan peningkatan
tertinggi kes membabitkan penggunaan senjata api diikuti Pulau Pinang,
Kedah, ibu negara dan Kelantan.
Beberapa
faktor seperti kepadatan penduduk menyumbang kepada peningkatan jenayah
senjata api di negeri terbabit selain kedudukannya bersempadan dengan
negara jiran yang menyebabkan senjata api lebih mudah diperoleh.
Sementara
itu, penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim melihat pemansuhan
beberapa undang-undang seperti Akta Tahanan Rumah dan Akta Keselamatan
Dalam Negeri menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan kes kerana
polis tidak boleh menahan penjenayah tanpa pembuktian yang cukup.
Justeru,
beliau mencadangkan penjenayah yang dihadapkan ke mahkamah atas
kesalahan senjata api harus dibaca bersama dengan Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Kamal
Affendi turut menganggap sikap masyarakat yang kurang berfungsi sebagai
mata dan telinga polis, terutamanya masyarakat di sempadan, menjadi
penyumbang utama gejala penyeludupan senjata api sukar dibendung dan
bukan faktor kelemahan kawalan sempadan. - BERNAMA