Sindiket Edar Dadah Antarabangsa Tumpas
Shah
Alam - 9 Jun – Polis menumpaskan satu rangkaian sindiket pengedaran
dadah antarabangsa yang menjadikan negara ini sebagai pusat transit,
didalangi warga Afrika dan Pakistan berikutan tiga serbuan di sekitar
ibu negara semalam yang membawa kepada penahanan enam suspek, termasuk
seorang wanita.
Dalam
serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit
Aman dengan kerjasama Polis Selangor itu turut berjaya merampas dadah
jenis heroin gred empat, seberat 16.5 kilogram yang dianggarkan bernilai
RM1.3 juta, dipercayai dari Afghanistan dan dibawa masuk menerusi
Pakistan ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) sebelum diseludup keluar di percayai ke Australia.
Ketua Jabatan Siasatan
Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata,
sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak awal tahun ini dengan
mengedar dadah heroin berkualiti tinggi itu untuk pelanggannya.
Menurut
beliau, kegiatan itu terbongkar apabila seorang pelajar lelaki warga
Nigeria berusia 21 tahun ditahan di Bangunan Avenue K, Kuala Lumpur.
“Polis menemui dua bungkusan plastik mengandungi serbuk dan ketulan
disyaki dadah jenis heroin nombor 4 seberat dua kilogram dalam beg yang
dibawa pelajar itu. Susulan daripada itu, polis menahan dua lelaki dan
seorang wanita warga Afrika berusia lingkungan 20 hingga 40-an tidak
jauh dari lokasi tangkapan pertama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu
Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Berikutan penangkapan empat warga Afrika itu pihak Polis menahan dua lelaki warga Pakistan yang berusia 37 tahun di Jalan Ampang, semalam. Hasil soal siasat terhadap dua lelaki warga Pakistan itu, Polis dibawa ke rumah sewa mereka di Taman Industri Lembah Jaya, Ampang sebelum menemui 14.5 kilogram dadah jenis heroin nombor 4, beberapa telefon bimbit dan sejumlah wang tunai. Mengikut harga pasaran, setiap kilogram dadah itu bernilai RM80,000.
ACP Nordin Kadir berkata, heroin nombor 4 merupakan dadah gred tinggi yang tidak terdapat di Malaysia dan memiliki hampir 80 peratus keasliannya. “Polis percaya heroin ini dibawa masuk ke Malaysia untuk dibungkus semula sebelum diedar ke pasaran antarabangsa memandangkan gred dan harganya yang tinggi,” katanya.
Kesemua mereka yang ditahan kini direman sehingga 16 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.