6 Pengedar Ditahan
Kuantan
- 9 Jun 2009. Enam pengedar dadah termasuk seorang wanita ditahan
manakala 536.6 gram heroin dan 100 liter ubat batuk dirampas dalam tiga
serbuan berasingan di Negeri Pahang antara 1 hingga 7 Jun 2009. Heroin
dan ubat batuk yang dianggarkan bernilai RM60,000 itu dipercayai untuk
diedarkan kepada golongan penagih di sekitar Kuantan, Rompin dan
Bentong.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintenden Yap Toon Khuan
berkata, semua suspek berusia antara 22 hingga 39 tahun termasuk wanita
itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah
Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori
jika sabit kesalahan.
Menurutnya,
dua pengedar berusia 22 dan 25 tahun ditahan bersama 100 liter ubat
batuk dan 21.2 gram heroin, hasil serbuan disebuah rumah di batu 28,
Kampung Cherating. Sementara tiga suspek berusia 24 hingga 39 tahun
termasuk seorang wanita ditahan bersama 28.4 gram heroin dalam satu
sekatan jalanraya sempena Ops Bersepadu di Simpang Lakum, Mempaga,
Bentong. Hasil ujian air kencing keatas suspek, dua daripada mereka
termasuk wanita itu didapati positif dadah heroin dan morfin.
Dalam
perkembangan lain, seorang pengedar dadah warga Myanmar berjaya ditahan
bersama 487 gram heroin dianggarkan bernilai lebih RM48,000, hasil
serbuan di sebuah rumah di Jalan Felda Selancar, Rompin pada 5 Jun lalu.
Suspek berusia 32 tahun itu juga didapati tidak memiliki dokumen
perjalalan yang sah dan masuk ke negara ini secara haram.