Sindiket Black Money Tumpas Dua Warga Asing Ditahan
Kuala
Lumpur, 8 Ogos - Satu sindiket 'black money' yang aktif di negara ini
sejak tahun lepas tumpas berikutan penahanan dua lelaki warga asing di
sini, Khamis lepas.
Ketua
Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata suspek yang berusia 32
dan 46 tahun itu masing-masing berasal dari Guinea dan Britain.
"Mereka telah ditahan dalam serbuan
di sebuah restoran di ibu negara kira-kira 2 petang," katanya pada
sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini hari ini.
Beliau
berkata serbuan itu dilakukan selepas seorang peniaga dari Indonesia,
yang berurusan dengan sindiket terbabit menyedari ditipu sebanyak
US$13,000(RM42,250) dan melaporkannya kepada polis.
Mohmad
berkata pengadu itu dalam laporannya berkata beliau telah berkenalan
dengan seorang daripada suspek melalui laman sosial Facebook pada
September tahun lepas dan kemudiannya berjumpa pada Jun lepas, di
Singapura.
"Semasa
perjumpaan itu pengadu telah ditawarkan dengan satu projek 'mencuci
wang kertas US Dolar yang dikatakan boleh mendatangkan keuntungan tiga
kali ganda dan pada Julai lepas pengadu telah menyerahkan US$13,000
(RM42,250) kepada suspek.
"Bagaimanapun
suspek sekali lagi meminta wang sebanyak US$5,000 daripada pengadu
dengan alasan untuk membeli bahan-bahan kimia, namun pengadu tidak
memberi wang tersebut dan telah membuat laporan polis," katanya.
Mengenai
serbuan itu, Mohmad berkata pihaknya turut merampas wang kertas palsu
bernilai US$100 sebanyak 4,896 keping dan kertas hitam yang digunakan
untuk penipuan itu.
Siasatan
awal mendapati beberapa keping wang Amerika itu telah dihitamkan dengan
bahan tertentu dan selepas dibersihkan dengan bahan kimia itu, keaslian
wang itu seolah-olah terserlah.
Kedua-dua
suspek ditahan reman selama 21 hari sehingga 21 Ogos dan kes disiasat
mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum
penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Sumber : BERNAMA