Masalah Hutang Polis Selamatkan Mangsa Culik Tahan Lima S
Kuala Lumpur, 11 Ogos - Polis menahan lima suspek termasuk sepasang
suami isteri dan menyelamatkan seorang mangsa culik di sebuah restoran
berhampiran Flat Danau Kota di Jalan Genting Klang di sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata mangsa, seorang lelaki berusia 23 tahun, dilaporkan diculik di satu lokasi di Jalan Genting Klang di sini, pada pagi Selasa lepas.
"Ketika
diselamatkan pada 9.20 malam tadi, mangsa dalam keadaan menggigil
ketakutan. Pemeriksaan lanjut mendapati tangan kanannya ditoreh dengan
pisau manakala sebahagian jari kaki kanannya turut dikerat," katanya
kepada Bernama
hari ini.
Beliau
berkata sebaik sahaja diculik, salah seorang suspek menghubungi adik
tiri mangsa berusia 22 tahun pada pukul 9.30 pagi pada hari kejadian
dengan menuntut menyerahkan wang RM3,000 sekiranya mangsa tidak mahu
dicedera.
Berikutan
panggilan telefon itu, Ku berkata adik tiri mangsa membuat laporan
polis di Balai Polis Setapak dan pihak polis menubuhkan sebuah pasukan
khas untuk menyelamatkan mangsa.
Beliau
berkata polis berjaya menahan tiga suspek berusia 22, 27 dan 31 tahun
ketika bersama mangsa di sebuah restoran sebelum menahan sepasang suami
isteri berusia 28 dan 22 tahun dalam serbuan di sebuah bilik di Jalan
Pahang di sini.
Beliau berkata mangsa dipercayai dikurung di bilik itu sebelum ini. "Polis
turut menemui sebilah parang dan pisau pemotong daging masing-masing
berukuran 49sm dan 30sm di dua lokasi tangkapan itu," kata Ku sambil
menjelaskan motif penculikan dipercayai ada kaitan dengan masalah
hutang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961, katanya.
Sumber : BERNAMA