Sindiket Awang Hitam Curi Duit Melalui E Mel Tumpas
Sindiket penipuan wang melalui internet yang didalangi 'Awang Hitam' tumpas dengan penahanan lima lelaki warga Nigeria di sebuah kondominium di Subang Jaya, Selangor pada 13 April lalu.
Kesemua suspek ditahan selepas seorang eksekutif sebuah kolej swasta di negeri ini yang kerugian RM10,000 selepas klik pautan yang kononnya dihantar sebuah bank melalui e-mel pada 9 April lalu, membuat laporan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Pulau Pinang, Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, mangsa berusia 48 tahun berasa curiga apabila mendapati dalam masa beberapa minit wang tunainya telah dipindahkan ke akaun yang tidak dikenali.
Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi bank bagi menghentikan transaksi berkenaan.
"Polis yang menjalankan siasatan kemudian berjaya menahan lima lelaki warga Nigeria terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sumber : Utusan Malaysia