Sidang Akhbar Polis Selamatkan 12 Wanita Filipina
Bukit Aman, KUALA LUMPUR 30 Disember 2009 - Polis berjaya menyelamatkan 12 wanita Filipina yang digunakan untuk kegiatan pemerdagangan manusia selepas menyerbu sebuah rumah flat di Jalan Imbi di sini pada 11 Disember lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, turut ditahan seorang wanita tempatan berusia 30 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga wanita warga asing terbabit. Serbuan dibuat hasil maklumat daripada Kedutaan Filipina mengenai pengurungan sekumpulan wanita rakyat negara itu di sebuah rumah di ibu kota.
Kesemua mangsa yang berusia antara 19 hingga 31 tahun itu dipercayai terpedaya dengan janji manis sindiket yang menawarkan pekerjaan sebagai pelayan restoran. Namun, sebaik sahaja mereka tiba di negara ini, mereka telah dikurung dan dipaksa untuk menjadi pekerja seks. Berdasarkan siasatan awal, kesemua mangsa dipercayai tiba di ibu negara kira-kira sebulan lalu.
Ketua Penolong Pengarah Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, YDH SAC II Dato' Ahmad Sofian Md. Yassin berkata, ketika serbuan, 12 wanita yang memiliki dokumen perjalanan yang sah itu dikurung dalam bilik.
"Bagaimanapun, mereka tidak didera atau dipukul. Kita turut menahan seorang wanita yang dipercayai penjaga di tingkat satu flat berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
"Kita juga dapati, sindiket itu menanggung semua kos perbelanjaan termasuk tambang penerbangan dan penginapan untuk menarik minat mangsa memohon pekerjaan ini," jelasnya.
Selain itu, kata beliau, mangsa tidak dibenarkan keluar dari rumah bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pasukan penguat kuasa. Beliau memberitahu, semua wanita yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 12, Akta Antipemerdagangan Orang 2007.
YDH SAC II Dato' Ahmad Sofian Md. Yassin juga berkata, sepanjang tahun 2009, Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D7 telah membuat tangkapan seramai 173 orang dari 139 kes dan seramai 16 orang telah berjaya didakwa di mahkamah sejak Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dikuatkuasakan Februari tahun lalu.
Dalam operasi mencegah pelacuran, sebanyak 13,087 serbuan telah dijalankan pada tahun 2009 dan pihak polis telah menahan seramai 12,610 individu termasuk 11,200 warganegara asing dan 1,410 warga tempatan berbanding 10,302 orang pada tahun 2008. Seramai 11,082 orang turut ditahan kerana menjalankan kegiatan perjudian haram berbanding 10,404 pada tahun 2008. Pihak polis juga berjaya menyelesaikan 122,574 kes gengsterisme dan peras ugut tahun 2009 dengan peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding 114,072 kes pada tahun 2008.

Sidang Akhbar...dari kanan, ACP Kamarul Zamen bin Mamat,YDH SAC II Dato' Ahmad Sofian bin Md Yassin, Ketua Penolong Pengarah D7 dan Supt. Maszley bin Minhad