Sidang Akhbar Polis Tumpas Sindiket Pengedaran Dadah Antarabangsa
Bukit
Aman - 6 Januari 2010. Pada 3 Januari 2010, Jabatan Siasatan Jenayah
Narkotik Bukit Aman telah menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah
antarabangsa jenis Methamphetamine (Syabu) oleh warganegara asing dengan
tertangkapnya 5 lelaki warga Iran dengan rampasan pakaian anggaran
berat 10 kg yang telah diserap dengan cecair Methamphetamine (Syabu).
Tangkapan
pertama bermula lebih kurang jam 5.15 petang ke atas 1 lelaki Iran
bersama dua buah beg pakaian di sebuah pangsapuri di Jalan Hang Isap,
Kuala Lumpur. hasil pemeriksaan beg, polis telah menjumpai dan merampas
2 helai tuala, 2 helai baju dan 3 helai seluar, anggaran berat 10 kg
yang telah diserap cecair Methamphetamine (Syabu).
Tindakan
susulan pada hari yang sama jam lebih kurang 6.15 petang, 4 orang lagi
lelaki warga Iran telah ditangkap di kawasan lobi sebuah pusat membeli
belah di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Kesemua ahli sindiket yang
berumur di antara 23 hingga 42 tahun itu telah ditahan reman sehingga 10
Januari 2010 untuk penyiasatan di bawah Seksyen 39B Akta dadah
Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Adalah
dipercayai sindiket yang dianggotai oleh warga Iran ini telah
menyeludup masuk membawa bekalan dadah itu melalui Lapangan terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sementara
itu juga, dalam kenyataan akhbar oleh YDH CP Dato' Zulhasnan Najib bin
Baharudin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, beliau
menyatakan, sepanjang tahun 2009, JSJN telah berjaya menahan 125,161
orang yang terlibat dalam pelbagai kesalahan narkotik berbanding 105,618
orang pada tahun 2008, peningkatan sebanyak 18.5%.
Hasil
tangkapan ini, JSJN berjaya meningkatkan pencapaian pembanterasan
melalui penguatkuasaan undang-undang ke arah pengurangan bekalan dadah
sebanyak 13% dan penguatkuasaan undang-undang kearah pengurangan
permintaan dadah sebanyak 18.9%.
YDH
Dato' Zulhasnan juga berkata, daripada risikan dan operasi yang
dijalankan, didapati dalam 100,000 orang di Malaysia, seramai 49 orang
terlibat dengan kesalahan narkotik.
Sementara
itu, nilai rampasan dadah pada tahun 2009 meningkat sebanyak 48.9%
iaitu RM388.37 juta berbanding RM260.87 juta pada tahun 2008.
Hasil
daripada maklumat risikan dan operasi yang dijalankan, JSJN juga telah
berjaya menumpaskan 35 sindiket pengedaran dadah yang mana 16
daripadanya adalah sindiket pengedaran dadah antarabangsa warganegara
Afrika, Iran, India, Pakistan, Taiwan dan China. Operasi berkesan yang
dijalankan menyebabkan sindiket mula menukar modus operandi penyeludupan
dadah ke dalam negara daripada kurier kepada perkhidmatan pos seperti
Fedex, DHL dan lain-lain.
Tahun
2009 juga mencatatkan sejarah kejayaan nilai sitaan JSJN tertinggi
sepanjang akta ini dikuatkuasakan iaitu sebanyak RM70.33 juta berbanding
RM38.25 juta pada tahun 2008.
Selain
itu seramai 1,320 orang telah diambil tindakan pencegahan di bawah Akta
Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 berbanding 1,200
orang pada tahun 2008. Hasil daripada risikan dan operasi yang
dijalankan dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini, JSJN telah berjaya
membanteras kewujudan makmal memproses dadah haram dari terus meningkat
denga pembongkaran 11 makmal dadah haram pada tahun 2009, 12 pada tahun
2008 dan 9 pada tahun 2007. JSJN juga telah berjaya membanteras masalah
keldai dadah (drug mule) dimana seramai 41 orang telah terlibat pada
tahun 2009 berbanding 51 orang pada tahun 2008, penurunan sebanyak
19.6%.
Dalam
memerangi masalah dadah, JSJN turut menjalinkan kerjasama antarabangsa
dengan 25 agensi-agensi penguatkuasaan negara asing dalam bertukar
maklumat risikan. Hasil dari usahasama ini, sebanyak 22 operasi telah
dijalankan sepanjang tahun 2009 dengan 102 orang telah ditahan di atas
pelbagai kesalahan narkotik. Hasil opeasi ini, JSJN telah berjaya
merampas sejumlah 858.5 kg serbuk Erimin-5, 435 kg serbuk ecstacy, 33.36
kg syabu dan 18.9 kg kokain yang bernilai RM141.69 juta.

YDH
CP Dato' Zulhasnan Najib bin Baharudin, Pengarah Jabatan Siasatan
Jenayah Narkotik, melihat beg yang digunakan untuk membawa pakaian yang
diserap dengan cecair Methamphetamine (Syabu).

YDH
CP Dato' Zulhasnan memegang tuala sambil disaksikan oleh YDH DCP Dato'
Othman bin Harun, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Pegawai Penyiasat, Insp Nurul Akma Kamaludin menunjukkan baju yang telah diserap dengan cecair Methamphetamine (Syabu).