Sambutan Hari Ulangtahun Pasukan Simpanan Persekutuan Yang Ke 54 Tahun
Cheras
24 Disember 2009 - Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) atau dikenali
juga sebagai Federal Reserve Unit (FRU) ditubuhkan pada 5 Disember 1955
dan berpengkalan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL).
Sebagai permulaan, 3 Terup iaitu 'A', 'B' dan 'C' telah ditubuhkan
bersama dengan Cawangan Latihan (Trainning Wing) dan ditempatkan di
Kuala Lumpur. Keanggotaan ketika itu adalah seramai 300 orang sahaja.
Pada
3 November 1956 jumlahnya bertambah menjadi 5 Terup dengan penubuhan
dua terup lagi iaitu 'X' dan 'Y' dan ditempatkan di Kuala Lumpur dan
Singapura. Pada 22 Ogos 1984 , PDRM telah menubuhkan Unit Berkuda PDRM
yang diletakkan bersama-sama dengan PSP dan ditempatkan di Kuala Lumpur.
Bagi memantapkan tindakan dalam menyuraikan rusuhan, Cawangan Water
Canon telah ditubuhkan pada 13 Jun 1986. Di awal penubuhannya, terdapat
hanya 2 buah kenderaan yang telah dihadiahkan oleh kerajaan Taiwan. Pada
13 Jun 1990, Water Canon diletakkan di bawah perintah dan kawalan
Komander PSP dengan kekuatan 11 buah kenderaan.
Pada
awal tahun 1974 berdasarkan kepada peristiwa-peristiwa tunjuk perasaan,
rusuhan, piket, mogok dan kejadian yang melibatkan ramai kaum wanita
dan kanak-kanak, pucuk pimpinan PDRM berpendapat perlunya diwujudkan
satu kumpulan Polis wanita bagi menangani keadaan tersebut. Pada 1 Julai
1974, satu Terup Wanita PSP telah diwujudkan dengan kekuatan seorang
pegawai berpangkat Inspektor, seorang Sarjan, 3 Kopral dan 35 mata-mata
wanita, ditempatkan di Kuala Lumpur.
Kini
PSP mempunyai sebanyak 7 Unit di bandar-bandar utama yang ditempatkan
bersama 7 unit Water Canon, 1 Pusat Latihan PSP, 1 Unit Berkuda dan 1
Terup Wanita. Pengkalan-pengkalan Unit PSP terletak di Kuala Lumpur (
PSP 1, 4, Terup Wanita, Unit Berkuda), Ipoh (PSP 5), Pulau Pinang PSP
3), Johor Bahru (PSP 2), Kuala Terengganu (PSP 6) dan Seremban (PSP 7).
Sejak
ditubuhkan 54 tahun lalu, PSP telah berjaya mempamerkan kemampuan dalam
melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Pelbagai cabaran dan
rintangan telah dihadapi semasa menguatkuasakan undang-undang negara.
Tidak dapat dinafikan, PSP telah memainkan peranan yang sangat penting
dan berkesan serta mencapai banyak kejayaan semasa menjalankan tugas.
Antaranya ialah :-
Rusuhan Kaum - 13 Mei 1969
Peristiwa Memali - 9 November 1985
Rusuhan Isu Tol di Cheras - 7 September 1990
Selain
itu, pelbagai demontrasi jalanan sejak akhir-akhir ini telah berjaya
ditangani dengan penuh profesional dan bertanggungjawab. Cabaran-cabaran
sedemikian dapat diatasi dengan jayanya tanpa sebarang insiden yang
tragis berlaku. Pelaksanaan tugas dan tanggungjawab PSP berpaksikan
kepada prinsip-prinsip berikut semasa menjalankan tugas :-
- Menggunakan daya kuasa yang minima
- Adil dan bertindak mengikut keadaan
- Bertindak berlandaskan undang-undang dan mengikut piawaian antarabangsa
Kemampuan
dan prestasi PSP bukan sahaja terbukti dalam negara, malah Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu telah memohon kepada PDRM bagi menempatkan PSP
dibawah panji -panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Timor Leste
bagi mengawal rusuhan dan ketenteraman awam di sana. Ini merupakan
pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan Pasukan Simpanan
Persekutuan PDRM.
Sempena
Sambutan Hari Ulangtahun Pasukan Simpanan Persekutuan Yang Ke-54 Tahun,
PSP telah mengadakan pelbagai program bagi sambutan itu.
Program-program tersebut ialah :-
1. Majlis Meraikan Anak-Anak Yatim/Miskin Perak (Yayasan Amanah An-Nur Maisarah) di Unit 5, PSP Perak pada 2 Disember 2009.
2. Program Derma Darah di Mes Pegawai Kanan PSP Cheras pada 5 Disember 2009.
3. Majlis Tahlil dan Doa Selamat di Surau Ehsanniah, PSP Cheras pada 10 Disember 2009.
Pada
pagi ini, bertempat di Padang Kawat PSP Cheras, telah berlangsung
Upacara Perhimpunan Sempena Hari Ulang Tahun Penubuhan PSP Ke-54 Tahun.
Hadir
dimajlis tersebut ialah YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua
Polis Negara. Turut hadir ialah YDH CP Datuk Hussin bin Haji Ismail,
Pengarah Jabatan KDN/KA, YDH SAC II Dato' Roslan bin Ahmad, Komander
PSP, YDH Dato'-Dato' Pengarah PDRM, Mantan-mantan Komander PSP,
Pegawai-pegawai Kanan dan anggota serta PERKEP PSP.
Dimajlis
ini juga, YDH Ketua Polis Negara telah menyempurnakan pemakaian
'Shoulder Flash' kepada 27 orang pegawai dan anggota semua Unit PSP.
Lencana baru PSP, 'Harimau Kumbang ' ini melambangkan ketangkasan dan
keberanian serta dapat membezakan identiti unit-unit yang lain seperti
PORU dan LSF, disamping dapat meningkatkan imej unit dan mendatangkan
unsur kegerunan terhadap pasukan.
Majlis
dimulai dengan Pemeriksaan Baris oleh YDH Ketua Polis Negara dengan
menaiki kenderaan istiadat, upacara pemakaian 'Shouler Flash' dan juga
persembahan Kawad Rusuhan, Rhythmix Martial Arts dan Seni Mempertahankan
Diri Pancang 12.

Pemeriksaan
Baris oleh YDH Ketua Polis Negara. Perhimpunan pagi ini terdiri
daripada 50 orang pegawai dan 350 anggota yang mewakili seluruh unit
PSP, diketuai oleh DSP Alexzandera bin Dawan sebagai Pegawai Pemerintah
Baris

YDH Ketua Polis Negara menyematkan lencana PSP kepada ACP Nasaruddin bin Haji Zahari, Timbalan Komander PSP

Menyematkan 'Harimau Kumbang' di bahu SM Muhammad Puzi bin Yacob dari Terup B, PSP Unit 1

Ucapan oleh YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara

Penyampaian cenderahati oleh YDH Pengarah Jabatan KDN/KA kepada YDH Ketua Polis Negara

Ikrar Rukun Negara dan Taat Setia oleh YDH SAC II Dato' Roslan bin Ahmad, Komander PSP

Laungan tradisi PSP...Penghormatan tiga kali 'Serang' kepada YDH Ketua Polis Negara

Panji Pasukan Simpanan Persekutuan dan Kawalan Kehormatan di arak keluar dari Medan Perbarisan

Pertunjukkan Seni Mempertahankan Diri Pancang 12.

Demo rusuhan di pertontonkan kepada hadirin yang hadir

Unit Berkuda digandingkan juga untuk menyuraikan keadaan yang getir...

Pasukan Simpanan Persekutuan menyuraikan perusuh-perusuh

Bergambar kenangan bersama YDH Ketua Polis Negara