Seminar Perundangan Akta Perhimpunan Aman 2012
Pada 15 September 2011, Y.A.B Dato' Seri Najib bin Tun Haji Razak telah mengumumkan untuk meminda Seksyen 27 Akta Polis 1967 dan mencadangkan satu rang undang-undang bersabit perhimpunan aman. Pada 22 November 2011, rang undang-undang ini telah dibacakan pertama kali di Dewan Rakyat, pada 24 November 2011 untuk bacaan kali kedua, pada 29 November 2011 sesi perbincangan telah diadakan dan telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Pada 20 Disember 2011 rang undang-undang ini telah diluluskan oleh Dewan Negara. Pada Februari 2012 telah diwartakan yang dikenali sebagai Akta Perhimpunan Aman 2012.
Cheras, 27 Februari 2012 - Satu seminar perundangan telah berlangsung dengan jayanya di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur, Cheras, anjuran Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) Sesi 2011/2012. Seminar yang bertajuk "Akta Perhimpunan Aman 2012" telah dihadiri dua orang panel yang berpengalaman iaitu YDH Dato' Razali bin Basri, Ketua Penolong Pengarah JSJ D5 (Pendakwaan Undang-Undang) dengan tajuk "Tranformasi Penugasan Polis Menghadapi Hak Rakyat Untuk Berhimpun" dan panel kedua Y.Bhg Prof. Madya Dr. Abdul Rani bin Kamarudin, Direktor Unit Legal, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bertajuk "Implementasi Akta Perhimpunan Aman 2012".
"Termaktub dalam Artikel 5 dan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, walaupun menjamin beberapa hak asasi seperti kebebasan diri, kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan, namun hak itu boleh dihadkan oleh artikel-artikel itu sendiri. Malahan Artikel 149 dan 150 juga memberikan hak kepada persekutuan untuk menghadkan mana-mana hak asasi demi keselamatan Awam atau keselamatan negara", ucapan YDH CP Dato' Wira Salleh bin Mat Rasid, Pengarah Jabatan KDN/KA, di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras.
Dalam ucapan YDH Pengarah Jabatan KDN/KA juga membicarakan seksyen-seksyen yang berkaitan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012. seksyen-seksyen tersebut memberikan semua warganegara hak menganjurkan perhimpunan aman atau menyertainya secara aman dan tanpa senjata. Penggunaan hak tersebut hendaklah tertakluk kepada sekatan-sekatan yang ditetapkan demi kepentingan keselamatan persekutuan atau ketenteraman awam, termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain.
Seminar ini diadakan bertujuan meningkatkan kefahaman agar lebih memahami tugas-tugas kepolisan terhadap akta-akta yang baru diluluskan ini demi menjamin hak semua warga negara Malaysia untuk berhimpun secara aman namun ianya perlu kepatuhan semua warganegara dalam penganjuran perhimpunan aman iaitu mematuhi beberapa syarat dan sekatan agar kondisi perhimpunan aman ini dalam keadaan terkawal tanpa ada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Turut hadir dimajlis, YDH SAC Dato' Shahbudin bin Abdul Wahab, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, YDH Sac Dato' Dr. Chai Khin Chung, Timbalan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Ketua-ketua Polis Daerah, Ketua-ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ketua-ketua Bahagian Ketenteraman Awam/Trafik Daerah, wakil-wakil Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan, peserta-peserta kursus dan Pegawai Kanan PDRM.

Ucapan Perasmian oleh YDH SAC Dato' Dr. Chai Khin Chung, Timbalan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras

Antara panel-panel dan tetamu undangan.

Panel jemputan, YDH SAC Dato' Razali bin Basri, Ketua Penolong Pengarah JSJ D5 (Pendakwaan/Perundangan), Bukit Aman.

Panel kedua, Y.Bhg Prof. Madya Dr. Abdul Rani bin Kamarudin, Direktor Legal Unit, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Ucapan Penutup oleh YDH CP Dato' Wira Salleh bin Mat Rasid, Pengarah Jabatan KDN/KA.

Penyerahan Resolusi Seminar oleh YDH ACP Zulkifli bin Ali, Presiden Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) kepada Pengarah Jabatan KDN/KA.

Cenderahati daripada Timbalan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur kepada Pengarah Jabatan KDN/KA.

Cenderahati kepada Y.Bhg Prof. Madya Dr. Abdul Rani bin Kamarudin.

Sesi bergambar.
Wartawan & Jurufoto : Kpl. Muhammad Lokmanul Hakim bin S.Nor