Sebanyak 19 Pati Ditahan Di Perairan Felda Sahabat
Sandakan,
19 Dis - Sebanyak 19 pendatang tanpa izin dari Filipina ditahan ketika
cuba memasuki negara ini di kawasan perairan Felda Sahabat, di Lahad
Datu semalam.
Ketua
Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk
Mohammad Mentek berkata mereka terdiri daripada tujuh lelaki dan empat
wanita dewasa serta lapan kanak-kanak yang ditahan ketika menaiki sebuah
jongkong pada pukul 8.45 malam.
Katanya
mereka ditahan menerusi pelaksanaan Ops Gasak melibatkan semua agensi
keselamatan dan diselaraskan oleh Esscom sejak 1 Dis lepas.
Menurutnya siasatan lanjut mendapati, pendatang berkenaan dalam perjalanan menuju ke Sinakut di Zon Labian, di Felda Sahabat.
"Tangkapan
ini dilakukan hasil maklumat orang ramai disusuli tindakan segera polis
Marin menahan pendatang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Bengkel Penyediaan Prosedur Standard Operasi Keselamatan
Industri Pelancongan di Pantai Timur Sabah di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua pendatang itu dibawa ke Markas Pasukan Gerakan Am di Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
Mohammad
berkata Ops Gasak dilancarkan bagi meningkatkan kawalan keselamatan dan
penguatkuasaan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Sumber : BERNAMA