Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan 2008 Peringkat Pdrm
Cheras - 1 Ogos 2008. Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan (SDPBK) 2008 Peringkat PDRM telah berlangsung di Dewan Sultan Hj. Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Lumpur, Cheras, Selangor pada 1 Ogos 2008.
Bertemakan " Sang Saka Biru : Warisan Perjuangan Perwira " menampilkan 33 orang pegawai dan anggota polis dari seluruh negara bagi merebut Piala Tepak Sirih Ketua Polis Negara.
Puisi berjudul 'Tun Perak' nukilan Gunawan Mahmood telah menobatkan C/Insp. Muhamed bin Mahat dari Kontinjen Melaka selaku juara menewaskan Sjn. Yusof Bin Ramji dari Johor menduduki tempat kedua dan Sjn Fauziah bte Hj. Omar Ibrahim mewakili Kontinjen Sabah ditempat ketiga.
YDH Tan Sri Dato' Seri Musa bin Dato' Hj. Hassan Ketua Polis Negara telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan peserta yang mengambil bahagian dipertandingan itu.
"Di samping kita menyambut Hari Kemerdekaan ke 51 pada tahun ini, PDRM juga meraikan sempena 50 tahun gelaran 'Diraja' yang dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhamad pada 24 Julai 1958 ".
"Melalui puisi, kita dapat memupuk semangat cintakan pasukan dan negara agar keamanan yang dikecapi hari ini dipertahankan sehingga ketitisan darah yang terakhir ", demikian kata Supt. Rasdi bin Ramli, Penguasa Perhubungan Awam PDRM ketika ditanya makna pengisian sepanjang persembahan di pertandingan pada malam itu.
Pada malam itu selain penyampaian puisi oleh para deklamator, khalayak dipertontonkan dengan sketsa gelagat seorang cucu yang ingin tahu tentang kaitan berpuisi dan perjuangan mempertahankan kedaulatan negara. Cucu itu banyak melontarkan soalan kepada datuk dan neneknya sehingga khalayak tidak kering gusi.
"Tepak Sirih KPN yang menjadi rebutan, adalah melambangkan kesungguhan PDRM mengangkat martabat budaya bangsa di samping membawa erti kemerdekaan yang dikecapi kini adalah hasil perjuangan dan pengorbanan para pahlawan yang terbilang", ujar Supt. Rasdi Ramli yang bertanggungjawab memastikan acara sayembara adalah sinonim dengan PDRM.
Para hakim pada malam itu terdiri dari Tuan Hj. Hamzah bin Hamdani, En. Rahim bin Abdullah dan En. Borhan bin Md. Zin

Sketsa seorang cucu 'Atan' banyak melontarkan soalan kepada datuk dan neneknya tentang kaitan puisi dan perjuangan.

YDH Tan Sri Dato' Seri Musa bin Dato' Hj. Hassan Ketua Polis Negara menyampaikan Piala ‘Tepak Sirih KPN” kepada C/Insp. Muhamed bin Mahat selaku juara SDPBK 2008 Peringkat PDRM yang mendeklamasikan sajak berjudul 'Tun Perak'

Juara ...... C/Insp. Muhamed bin Mahat (tengah) selaku juara dari Kontinjen Melaka, Sjn Yusof bin Ramli (kiri) kedua dari Johor dan Sjn Fauziah bte Hj. Omar Ibrahim tempat ketiga mewakili Kontinjen Sabah.

Pendeklamator dipertandingan akhir SDPBK 2008 Peringkat PDRM bergambar kenangan bersama-sama YDH Tan Sri Dato' Seri Musa bin Dato' Hj. Hassan, YDH Dato' Abdul Razak Hj. Bokhari dan YDH SAC I Zaleha Abdul Rahman.

Krew produksi bertungkus lumus menjayakan SDPBK 2008 Peringkat PDRM diketuai oleh Supt Rasdi bin Ramli Penguasa Perhubungan Awam PDRM (tengah).