Proton Inspira Sebagai Kereta Peronda Polis
Shah
Alam, Selangor. 25 Mei 2011 - PROTON Holdings Berhad telah
menyumbangkan sepuluh unit Proton Inspira 1.8 L (manual) kepada pihak
Polis Diraja Malaysia untuk kegunaan pihak polis dalam melaksanakan
tugas dan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
YDH
Ketua Polis Negara Tan Sri Haji Ismail Bin Haji Omar telah menerima
sumbangan kereta peronda tersebut daripada Pengarah Urusan Kumpulan
PROTON, YBhg. Dato' Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam
satu majlis penyerahan yang diadakan di Litar Ujian PROTON.
Di
majlis ini juga, seramai 200 orang tetamu turut hadir, antaranya YDH
CP Dato' Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
Narkotik, YDH CP Dato' Pahlawan Zulkifli bin Abdullah, Pengarah Jabatan
Logistik, Pegawai-pegawai Kanan PDRM dan pihak pengurusan PROTON.
Sempena
majlis ini, PROTON Holdings turut memperagakan model PROTON Inspira
1.8L dipandu uji oleh pihak PDRM untuk kegunaan tugas seharian mereka.
Ini adalah sebahagian dari usaha kedua-dua pihak untuk menguji prestasi
dan kemampuan Proton Inspira serta mendapatkan maklumbalas untuk
inisiatif PROTON dan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan PDRM dalam
membangunkan prototaip kereta peronda polis dari model Proton Inspira.
Berbeza
dengan sesi pandu uji kereta yang biasa dilakukan oleh pelanggan,
kereta peronda ini telah dipandu uji oleh PDRM sendiri bagi menentukan
kesesuaian model kereta mengikut kesesuaian tugas seharian. Disamping
ujian terhadap prestasi dan kemampuan serta pemanduan dan pengendalian
dalam menangani sitiuasi tugas mencabar, kereta ini juga telah
diubahsuai mengikut spesifikasi serta kelengkapan yang digunakan oleh
sebuah kereta peronda polis.
Sehubungan
dengan perkara ini, PROTON telah mengambil inisiatif untuk mengubahsuai
sepuluh Proton Inspiranya untuk dijadikan kereta peronda polis sebelum
ianya disumbangkan kepada PDRM. Kereta tersebut dilengkapi sistem lampu
amaran dan siren bersepadu, pelekat pembalik cahaya berlogo PDRM dan
sistem telekomunikasi radio bergerak.
"PROTON
sentiasa komited dalam menambahbaik kualiti produknya dengan setiap
model baru yang dikeluarkan. Di dalam konteks ini, pihak PDRM pastinya
akan turut berkongsi manfaat daripada usaha penambahbaikan ini apabila
model terbaru tersebut dijadikan kereta peronda. Kami berharap Proton
Inspira, dengan kemampuan prestasinya serta tahap pemanduan dan
pengendaliannya yang mantap, akan dapat memenuhi keperluan dan
kesesuaian demi membantu pihak PDRM menjalankan tanggungjawab mereka,"
kata Dato' Seri Syed Zainal dalam ucapannya.
Di
majlis tersebut juga, PROTON turut mengumumkan hasrat syarikat itu
untuk berkerjasama dengan PDRM dalam mengurangkan kadar berlakunya
jenayah. Melalui kerjasama ini, PROTON akan melaksanakan beberapa
inisiatif utama seperti melancarkan kempen kesedaran kepada
pelanggannya. PROTON juga akan menjalankan kempen untuk mengalakkan
lebih ramai kakitangannya untuk mendaftar sebagai sukarelawan Rakan COP.
Melalui inisiatif ini, PROTON akan menjemput wakil dari PDRM untuk
memberikan penerangan serta membuka kiosk pendaftaran di kawasan kilang
dan pejabat PROTON serta anak-anak syarikatnya. Setakat ini, keahlian
Rakan COP di Proton Tanjung Malim telah mencecah seramai 980 orang dan
merupakan ahli yang paling ramai di antara syarikat-syarikat di negeri
Perak.
Disamping
itu, YDH Ketua Polis Negara, Tan Sri Haji Ismail Bin Haji Omar
mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada PROTON
Holdings kerana telah menyumbangkan sepuluh buah kereta peronda polis
model Proton Inspira kepada PDRM.
"Kereta peronda polis atau MPV (Mobile Patrol Vehicle)
merupakan barisan hadapan PDRM, dan jumlah MPV yang mencukupi sangat
penting bagi membolehkan PDRM meningkatkan kehadiran polis atau "omnipresence"
di sesuatu tempat, bagi tujuan meningkatkan keberkesanan mencegah
jenayah serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Kehadiran MPV
dapat memberi keyakinan dan keselesaan kepada orang ramai bahawa
keselamatan dan ketenteraman awam di sesuatu tempat itu, adalah terkawal
dan mendapat perhatian polis, sekaligus dapat mengurangkan kemungkinan
berlaku kejadian jenayah." kata YDH Ketua Polis Negara dalam ucapannya.
Majlis
tersebut juga telah diserikan dengan persembahan demonstrasi istimewa
daripada pihak PDRM dan pihak Proton, menunjukkan kebolehan dalam
situasi yang memerlukan kecekapan pemanduan, pengendalian serta prestasi
kelajuan yang tinggi.

YBhg. Dato' Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir memberikan ucapan.

YDH Ketua Polis Negara, Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar turut memberikan ucapan balas.

Antara demonstrasi yang diadakan.





YBhg. Dato' Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir menyerahkan replika kunci kepada YDH Ketua Polis Negara.

YDH Ketua Polis Negara menunjukkan isyarat bagus setelah memeriksa kenderaan tersebut.

YBhg.
Dato' Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir menyampaikan
cenderahati kepada YDH Ketua Polis Negara di akhir majlis tersebut.

Kereta Peronda Polis (MPV) terbaru.
Wartawan : L/Kpl Shareel
Jurufoto : L/Kpl Mohd Helmi dan L/Kpl Mohd Shareel
Penyunting : Sjn Zaiddin Dahlan