"Untuk menjalinkan silaturahim sebenarnya bukanlah sukar. Apa yang penting ialah keinginan untuk bersilaturahim dalam diri sendiri, tidak sombong, mengenepikan keegoan, kebencian dan dendam, dan hendaklah digantikan dengan perasaan kasih sayang, bersabar terhadap perbuatan yang menyakitkan dan sentiasa berbuat baik sesama insan".
Demikian kata YDH SAC Mohd Rodzi Ismail, Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), ketika ditemui di Majlis Dialog 'Komander Briged Tengah PGA Bersama Warga Batalion 4, 5, 6 dan Batalion 19 KLIA' di Ibu Pejabat Briged Tengah PGA, Cheras.
Selain berdialog, Majlis Jalinan Silaturahim Briged Tengah PGA itu, turut diadakan ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Hj. Zulkarnain Hj. Hamzah, daripada Astro Oasis.
Di samping itu pada sebelah petangnya pula, Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Ibu Pejabat Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras, mengadakan Sambutan Hari Ibu.
"Kita mahu mengeratkan hubungan silaturahim antara para ibu. Majlis Sambutan Hari Ibu yang diadakan ini adalah tanda kasih sayang dan penghargaan daripada para suami kepada para isteri yang sanggup berkorban tenaga dan masa demi kemajuan kerjaya para suami dan masa depan anak-anak mereka".
"Apabila suami mereka keluar operasi di kawasan yang jauh dari mereka, merekalah ibu, merekalah bapa dengan melaksanakan tanggungjawab membesarkan anak-anak serta keharmonian rumahtangga", ujar Puan Hamisah Ahmad, Pengerusi PERKEP, Briged Tengah PGA.
Puan Hamisah berkata, selain itu, kita juga mengajak para ibu beriadah dengan melibatkan diri dalam persatuan. Melalui berpersatuan kita dapat bertukar-tukar fikiran dan pandangan.
"Pelbagai program telah dirancang untuk kebaikan ahli-ahli PERKEP bagi menambah pengetahuan, mengisi masa lapang, menjaga kesihatan dan mengkukuhkan lagi silaturahim di semua peringkat pangkat pegawai, anggota dan pegawai awam", kata Puan Hamisah dengan harapan semua pihak akan memberikan komitmen yang jitu dalam menjayakan program yang telah dirancangkan itu.

Memberikan tumpuan..... hadirin memberikan tumpuan mendengar ceramah daripada Ustaz Hj. Zulkarnain Hj. Hamzah
Penghargaan .... SAC Mohd Rodzi Ismail,
Komander Briged Tengah PGA menyampaikan cenderamata kepada Ustaz Hj. Zulkarnain
sebagai tanda penghargaan daripada warga Briged Tengah PGA
Selamat Maju Jaya .... Puan Hamisah Ahmad,
Pengerusi PERKEP Briged Tengah PGA (tengah) bersama –sama Pengerusi PERKEP
Batalion, memotong kek Sambutan Hari Ibu
Peringkat Briged Tengah PGA
Persembahan nyanyian daripada ahli-ahli
PERKEP menghiburkan para hadirin.
Ahli-ahli PERKEP yang hadir di majlis
Sambutan Hari Ibu Peringkat Briged Tengah PGA
Penyunting : Unit Laman Web PDRM