Program Community Policing Bersama Masyarakat Orang Asli Desa Temuan
Petaling Jaya - 6 Jun 2009. Program 'Community Policing' Bersama Masyarakat Orang Asli Desa Temuan telah disempurnakan oleh YDH ACP Arjunaidi bin Mohamad, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Padang Desa Temuan, Damansara Perdana pagi ini.
Hadir sama dimajlis ini ialah Supt. Abd Razak bin Elias, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Encik Ismael bin Chat, Tok Batin Desa Temuan, Dif-dif Jemputan, Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta masyarakat setempat dan penduduk Orang Asli Desa Temuan.
Sejak kebelakangan ini, masalah sosial yang berlaku dikalangan masyarakat Orang Asli di kawasan ini telah dipaparkan melalui laporan khas oleh beberapa media massa yang mengambarkan seolah-olah masyarakat ini telah mengalami masalah sosial yang serius termasuk terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Program 'Community Policing' Bersama Masyarakat Orang Asli Desa Temuan ini adalah yang julung-julung kali di adakan bersama masyarakat Orang Asli. Tujuan program ini adalah untuk memberi tumpuan kepada golongan ini dari segenap aspek meliputi hala tuju termasuk pendidikan serta bakal menjadi 'Orang Tengah' dalam menyelesaikan banyak masalah yang membabitkan kaum pribumi itu.
Ketua Polis Daerah serta warga IPD Petaling Jaya juga berhasrat untuk memahami masalah kaum ini yang terhimpit dalam era pembangunan disekeliling mereka, terutama kepada remaja mereka yang telah terdedah dengan masalah sosial. Golongan ini juga didapati masih tidak boleh bersaing dengan pembangunan disekeliling mereka menyebabkan ada yang berputus asa yang akhirmya terdesak dan melibatkan diri dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Dengan adanya program ini, masyarakat Orang Asli dapat merasakan masyarakat sekeliling tidak pernah mempinggirkan mereka dan juga memberi semangat serta sedia memberi pertolonagn dan bantuan sekiranya diperlukan.
Pendekatan Polis Diraja Malaysia dalam 'Kepolisan Masyarakat' semasa program ini ialah dengan menggabungkan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk bersama-sama bersatu tenaga menjayakan beberapa acara yang telah diaturkan. Agensi-agensi yang terlibat ialah :-
1. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (IHEOA)
2. Persatuan Orang Asli malaysia (POASM)
3. Majlis bandaraja Petaling Jaya (MBPJ)
4. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
5. Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN)
6. Jabatan Belia dan Sukan Negara
7. Kementerian Kesihatan
8. Jabatan Tenaga dan Sumber Manusia
9. Pejabat Pelajaran Daerah Petaling
Desa Temuan Bukit Lanjan, Damansara Perdana meliputi keluasan 9,027 hektar yang mana jumlah penduduknya ialah 945 orang. Di Desa Temuan, kemudahan asas yang telah didirikan ialah sebanyak 147 unit rumah banglo, 130 unit rumah pengsapuri, 6 unit rumah kedai, surau, balairaya, dewan serbaguna, sekolah, taman permainan dan juga Muzium Orang Asli.
Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan ialah acara sewang, pertandingan sumpit, pertandingan menarik upeh, tarik tali, pertunjukkan kawat kaki oleh Batalion 3 PGA, pertunjukkan Unit Berkuda dan Unit K9 PDRM, pertunjukkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pertunjukkan kebudayaan serta mengadakan gerai-gerai pameran oleh PDRM dan lain-lain agensi kerajaan.

Tok Batin Ismael bin Chat turut menyambut ketibaan YDH ACP Arjunaidi bin Mohamad, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya

YDH ACP Arjunaidi bin Mohamad, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya bersama-sama Dif-dif jemputan

Gimik pelancaran...menyumpit belon untuk melepaskan kain rentang Program Community Policing

YDH ACP Arjunaidi bin Mohamad, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya menerima cenderahati daripada Tok Batin Desa Temuan

Pertunjukkan kawat kaki oleh Batalion 3, Senoi Praaq, Pasukan Gerakan Am

KPD Petaling Jaya dan warga PDRM sempat menyertai senamrobik yang dikelolakan oleh Kementerian Belia dan Sukan

Persembahan tarian oleh Muzium PDRM

Persembahan menarik oleh Unit Berkuda PDRM

Unit K9 PDRM turut membuat pertunjukkan

Bersemangat...Pasukan Gagak Hitam melawan Pasukan PDRM dalam acara tarik tali.

Gerai pameran Majlis Bandaraya Petaling Jaya

Cawangan Hal Ehwal Awam Bukit Aman juga tidak ketinggalan menyertai pameran

YDH ACP Arjunaidi bin Mohamad, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya bergambar kenangan dengan hadirin yang hadir