Majlis Meraikan Kepulangan Pegawai Anggota Bertugas Dari Misi Pbb Sudan
Sepang - 11 Jun 2009. YDH
P/SAC II Dato' Aishah binti Mohammad, Penolong Pengarah Perkhidmatan
(Rekod Personel) bersama Pegawai-pegawai Kanan Polis telah menyambut
ketibaan Pegawai/Anggota Bertugas Dari Misi PBB Sudan- UNAMID (Darfur)
yang tiba dari Bahrin dengan penerbangan GF 702 di Bilik VIP KLIA hari
ini.
Seramai 9
pegawai dan 16 anggota selamat tiba dengan diketuai oleh Ketua Kontinjen
G-24, SUPT. Ooi Kee Lin. Pegawai dan anggota ini mula berkhidmat dengan
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu selama 12 bulan mulai 10 Jun 2008
hingga 11 Jun 2009 di misi UNAMID (Darfur).
Polis
Diraja Malaysia telah menyertai Misi Pengaman PBB dengan memulakan
penghantaran pertama seramai 14 orang pegawai dan anggota di Angola pada
13 Ogos 1991. Seja dari tarikh tersebut, selaras dengan keputusan
kerajaan Malaysia untuk menyahut permohonan dari PBB supaya menyumbang
pegawai dan anggota PDRM bertugas di misi-misi pengaman di negara-negara
bermasalah, PDRM telah menghantar seramai 2,796 orang pegawai dan
anggotanya berkhidmat di duabelas buah negara seperti Angola, Sahara,
Somalia, Croatia, Sierra Leone, Afghanistan, Kemboja, Mozambique,
Kosovo, Bosnia & Herzegovina, Timor Leste dan Sudan.
Dalam ucapan amanat YDH Pengarah Pengurusan yang dibaca oleh YDH P/SAC II Dato' Aishah binti Mohammad, beliau berharap pengalaman serta ilmu pengetahuan yang baik yang ditimba selama berada di Sudan dapat dikongsi bersama rakan-rakan seperjuangan di dalam pasukan khususnya.
"Peluang yang diperolehi semasa berkhidmat di Misi Pengaman PBB, percampuran dengan pegawai-pegawai polis dari serata dunia dan mengenali budaya masyarakat negara asing akan menjadikan diri pegawai dan anggota lebih dinamis, matang dan bertanggungjawab", kata beliau lagi.
Misi Pengaman di Sudan ini juga mencoretkan peristiwa dimana ASP Saufi Anuar bin Abdullah yang bertugas di Team Site Zamzam Sektor Utara Darfur telah diserang oleh pemberontak sewaktu konvoi sedang menuju untuk menjalankan siasatan satu kejadian. dalam serangan pemberontak itu, dua UNPOL dari negara lain telah terkorban tetapi ASP Saufi Anuar tidak mengalami sebarang kecederaan dan selamat. Sementara itu D/Kpl Aminuddin bin A.Majid telah meninggal dunia pada 9 Oktober 2008 semasa bercuti di Alor Star akibat disyaki menghidap demam malaria semasa di Sudan.

Ucapan balas oleh Ketua Kontinjen G-24, Superintenden Ooi Kee Lin

dua dari kiri...ASP Saufi Anuar bin Abdullah menceritakan detik-detik cemas semasa konvoi diserang oleh pemberontak kepada YDH P/SAC II Dato' Aishah binti Mohammad

YDH P/SAC II Dato' Aishah binti Mohammad bergambar kenangan bersama pegawai dan anggota Kontinjen G-24 Sudan UNAMID