Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tumpas Geng Ranggi Pecah Masuk Kilang

Diterbitkan: 18 Aug 2015 3.59 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis percaya telah menumpaskan Geng Ranggi yang aktif memecah masuk kilang di bandar raya ini dan daerah berhampiran sejak Januari lalu, selepas menahan dua lagi anggota kumpulannya semalam.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tumpas-geng-ranggi-pecah-masuk-kilang
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 03:56 MYT

Shah Alam, 18 Ogos - Polis percaya telah menumpaskan Geng Ranggi yang aktif memecah masuk kilang di bandar raya ini dan daerah berhampiran sejak Januari lalu, selepas menahan dua lagi anggota kumpulannya semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, tangkapan terbaharu itu adalah susulan kepada penahanan tiga suspek yang terlibat dengan kes samun dan bakar sebuah kenderaan di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di sini pada 9 Ogos lepas.

"Soal siasat polis ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka terlibat dengan satu geng yang aktif menyamun kilang dan seorang daripada mereka merupakan ketua geng berkenaan.

"Soal siasat itu turut membawa kepada penahanan dua lagi suspek lelaki berumur 29 tahun di rumah masing-masing di Kampung Jawa, Klang pada pukul 6 petang semalam," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Shafien berkata, polis turut menjumpai pelbagai barangan dipercayai hasil samun di rumah kedua-dua suspek yang ditahan semalam, antaranya sebuah lori, sebuah kereta Perodua Kenari, sebuah forklift dan pelbagai alatan kilang yang dianggarkan bernilai RM750,000.

Katanya dengan penahanan kelima-lima suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan kira-kira tujuh kes samun kilang yang berlaku di sini dan di daerah berdekatan.

Menurut Shafien, pihaknya juga sedang mengesan tiga lagi anggota geng itu yang masih bebas berumur antara 25 dan 42 tahun yang beralamat di Klang.

"Antara suspek yang sedang kita buru ialah S.Munesh Kumar berusia 34 tahun yang mempunyai 18 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan.

"Suspek kedua ialah P. Ragu berusia 42 tahun juga mempunyai 19 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan manakala suspek ketiga ialah V. Anantha Kumar berusia 25 tahun yang mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan.

"Ketiga-tiga suspek sedang kita buru dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh segera salurkannya ke balai polis terdekat," katanya.

Shafien berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat boleh juga terus menghubungi Bilik Gerakan IPD Shah Alam di talian 03-55202022. - BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 18 Aug 2015 3.59 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM