Enam Ditahan Tidak Memiliki Dokumen Perjalanan Sah
Seberang Perai, 18 Ogos- Enam pendatang asing tanpa izin (PTI) ditahan sepasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban di perairan Pulau Jerejak di sini, petang semalam.
Komander PPM Wilayah 1, ACP Mohd Yusof Abdullah berkata, pihaknya yang sedang membuat rondaan Op Gelora di kawasan sangkar ikan berkenaan telah terserempak dengan kesemua PTI tersebut.
"Pemeriksaan lanjut ke atas mereka mendapati kesemua suspek gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah,"katanya.
Menurut ACP Mohd Yusof lagi, pihaknya turut menemui pelbagai jenis minuman keras yang disimpan di sangkar ikan terbabit.
"Sebanyak 66 botol dan 52 tin minuman keras pelbagai jenis didapati tidak mempunyai pengesahan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).
"Minuman keras tersebut telah diserahkan kepada KDRM untuk siasatan dan tindakan lanjut manakala enam lelaki warga Myanmar yang ditahan diserahkan ke Balai Polis Pantai untuk tindakan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959," ujar beliau lagi.