Polis Temui Barang Kemas Kes Samun Di Selayang Baru
Kuala
Lumpur, 28 Feb - Polis menemui semula sejumlah barang kemas yang
disamun di sebuah kedai emas yang terletak di hadapan Balai Polis
Selayang Baru di sini Isnin lepas berikutan penahanan sembilan suspek
rakyat tempatan di sekitar Gombak, di sini.
Tujuh lelaki dan dua wanita yang ditahan dalam dua serbuan itu berumur dalam lingkungan 20-an.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaiveegan berkata serbuan
pertama pada 19 Feb lepas di sebuah rumah di Kampung Laksamana, Batu
Caves menyaksikan penangkapan tujuh suspek lelaki.
Dua
suspek wanita itu pula ditahan dalam operasi susulan pada hari dan
lokasi sama. "Tiga daripada suspek itu dikenal pasti mempunyai kaitan
langsung dengan kejadian samun tersebut," kata Thaiveegan kepada
pemberita hari ini. Hasil serbuan yang dilakukan, polis menemui sejumlah
barang kemas di rumah itu selain dua topi keledar, pakaian dengan
tulisan Damansara Ulu-Klang Expressway (DUKE), sebuah motosikal jenis
Kawasaki dan surat pajak gadai.
"Polis
percaya suspek memajak beberapa barang kemas di kedai pajak gadai
sebelum membeli motosikal," katanya. Dalam kejadian 18 Feb lepas, dua
lelaki bersenjatakan parang dan tukul melarikan tiga dulang barang kemas
dianggarkan bernilai RM250,000 dari kedai itu. - BERNAMA