Polis Kuching Tahan Lima Lelaki Curi Kabel
Kuching,
27 Feb : Polis Kuching menahan lima lelaki yang dipercayai mencuri
kabel milik Telekom Malaysia Berhad di Batu 23, Jalan Kuching-Serian
dekat sini, menerusi operasi bersepadu pada Ahad lepas. Ketua Polis
Daerah Kuching ACP Rozlan Bek berkata suspek yang berusia antara 27 dan
37 tahun itu diberkas di Taman Duranda Emas, Kampung Sinjok dekat sini.
Kehilangan kabel sepanjang 80 meter bernilai RM800 itu disedari seorang
juruteknik Telekom ketika mahu membaiki kerosakan pada talian telefon
di situ, 2 Jan lepas, katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya
polis kemudian menubuhkan pasukan petugas khas meliputi anggota dan
pegawai polis dari Balai Polis Siburan, Beratok dan Tapah bagi menjejaki
suspek. Menurutnya pasukan itu berjaya mengesan suspek hasil risikan
serta maklumat awam
dan polis percaya suspek turut terlibat dalam kejadian pecah rumah
berdasarkan penemuan pelbagai peralatan dalam sebuah kereta milik
seorang suspek.
Sementara
itu, ACP Rozlan Bek berkata daerah Kuching mencatatkan penurunan kadar
jenayah sebanyak 11.1 peratus kepada 543 kes tempoh dua bulan pertama
tahun ini.
"Bagaimanapun
kami mendapati indeks jenayah bagi kecurian kenderaan meningkat dan
baru-baru ini melibatkan tempat seperti stesen minyak," katanya.
Menurutnya untuk tempoh Januari dan Februari, sebanyak 24 kes kecurian
kenderaan dilapor di Kuching iaitu meningkat 110 peratus berbanding
tempoh sama tahun lepas.
-BERNAMA