Polis Tahan Empat Lelaki Rampas Lebih 60 000 Biji Pil Kuda
Kota
Bahru, 11 Dis - Polis Kelantan percaya dapat melumpuhkan sindiket
pengedaran dadah di Kelantan dan Terengganu berikutan penangkapan empat
lelaki serta merampas lebih 60,000 biji pil kuda dengan anggaran nilai
pasaran RM1.5 juta.
Timbalan
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri DSP Mit A/L Emong
berkata empat lelaki itu ditahan di sebuah kedai tayar dan sport rim di
Jalan Cherang, Kampung Bayam, di sini pada 5 Dis lepas bersama 200 biji
pil disyaki dadah jenis pil kuda dalam timbunan tayar di kedai
berkenaan.
Hasil
siasatan terhadap empat suspek berumur antara 23 dan 29 tahun itu,
polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah Honda Jazz yang diparkir di
hadapan sebuah rumah sewa di Jalan Sultan Yahya Petra, Kampung Lundang,
di sini dan menemui 30 bungkusan yang dibalut menggunakan surat khabar.
Setelah
diperiksa, bungkusan itu didapati berisi 60,000 biji pil disyaki dadah
jenis pil kuda dengan anggaran nilai pasaran RM1.5 juta, katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Polis, katanya, turut menyita lima buah kenderaan pelbagai jenis yang bernilai kira-kira RM200,000.
Mit berkata bekalan dadah itu dipercayai dari negara jiran untuk dipasarkan di Kelantan dan Terengganu.
Beliau
berkata polis percaya empat suspek tersebut daripada kumpulan sama yang
ditahan pada 2 Dis lepas melibatkan lima lelaki dan dua perempuan.
Kumpulan itu, katanya, dipercayai dianggotai kira-kira 30 orang dan polis telah mengenal pasti baki anggota kumpulan terbabit.
Beliau
berkata setakat ini 11 anggota kumpulan itu, termasuk dua wanita, telah
ditahan dan membabitkan nilai rampasan kira-kira RM3 juta.
Sumber : BERNAMA