Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan Dua Lelaki Samun Wanita Indonesia Sehingga Cedera

Diterbitkan: 19 Jun 2016 12.48 PM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.25 PM
George Town, 19 Jun - Polis menahan dua lelaki selepas disyaki terbabit dalam kes samun sehingga menyebabkan seorang wanita warga Indonesia cedera dalam kejadian di Kompleks Medan Selera Sungai Nibong di sini, 8 Jun lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-dua-lelaki-samun-wanita-indonesia-sehingga-cedera
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 12:38 MYT


George Town, 19 Jun - Polis menahan dua lelaki selepas disyaki terbabit dalam kes samun sehingga menyebabkan seorang wanita warga Indonesia cedera dalam kejadian di Kompleks Medan Selera Sungai Nibong di sini, 8 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dua lelaki berusia 38 dan 40 tahun itu ditahan secara berasingan di Paya Terubong dan Bandar Baru, Air Itam di sini, kira-kira 1.30 petang semalam.

"Berdasarkan siasatan dan risikan, polis berjaya menahan dua lelaki itu yang dipercayai terlibat dengan kes seorang wanita warga Indonesia cedera ditikam dalam kejadian samun," katanya.

"Dalam kejadian 8 Jun lepas itu, mangsa sedang berjalan sendirian di Kompleks Medan Selera berkenaan sebelum dihampiri dua lelaki terbabit yang menaiki sebuah motosikal dan kemudian bertindak menyamun mangsa.

"Suspek bertindak menikam wanita itu kerana dia enggan melepaskan beg tangannya," katanya.

Mior Faridalatrash berkata, berikutan penahanan dua lelaki yang tidak bekerja itu, polis merampas sebuah motosikal dan dua topi keledar yang digunakan mereka dalam aktiviti samun dan ragut.

Beliau berkata polis turut menemui semula pelbagai telefon bimbit, barangan kemas dan sejumlah wang tunai dipercayai hasil daripada kegiatan jenayah mereka.

"Siasatan juga mendapati dua lelaki itu terlibat dalam kes samun di Pulau Tikus baru-baru ini, berdasarkan hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

"Polis tidak menolak kemungkinan dua lelaki yang aktif menjalankan kegiatan samun dan ragut di daerah Timur Laut itu turut terlibat dalam beberapa lagi kes jenayah berkenaan," katanya.

Beliau berkata mereka kini direman selama lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalatrash berkata polis menahan seorang pengawal keselamatan berusia 45 tahun kerana memiliki motosikal yang dilaporkan dicuri di Sungai Nibong pada 7 Jun lepas.

Beliau berkata lelaki itu ditahan di Relau dekat sini, kira-kira 4 petang semalam, ketika sedang menunggang motosikal jenis Honda Ex5 berkenaan.

"Motosikal itu dilaporkan hilang ketika mangsa meletakkannya di hadapan sebuah kedai tayar di tempat kerjanya. Pengawal keselamatan berkenaan mendakwa kenderaan itu baru dibelinya daripada seorang rakan," katanya.

Lelaki itu direman selama tiga hari dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 19 Jun 2016 12.48 PMDikemas kini 15 Aug 2026 7.25 PM