Wanita Berkasih Dengan Warga Asing Ditahan Lakukan Pecah Bilik
Kuantan, 19 Jun - Seorang wanita rakyat tempatan dan kekasihnya warga Bangladesh ditahan polis selepas menceroboh sebuah bilik sewa yang didiami seorang lelaki di Jalan Pasar, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata, pasangan kekasih itu dilaporkan bertindak mengumpil pintu bilik mangsa dan menggeledahnya untuk mencari barang berharga sebelum tiba-tiba terserempak penyewanya berusia 30 tahun yang kebetulan baru balik dari kerja pada pukul 5.30 petang.
"Mangsa yang terkejut melihat suspek terpaksa bergelut beberapa minit apabila penjenayah itu bertindak agresif ketika hendak ditahan menyebabkan mangsa meminta bantuan orang awam.
"Pasangan kekasih itu berjaya ditahan beberapa minit kemudian dan mangsa kemudiannya bertindak menghubungi polis," katanya ketika dihubungi hari ini.
Abdul Aziz berkata, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki negatif manakala pasangannya positif dadah jenis morfin.
Katanya, siasatan turut mendapati suspek wanita juga mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah manakala suspek lelaki itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
"Pasangan itu kini ditahan reman selama empat hari di Kompleks Tahanan Reman di Indera Mahkota di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan," katanya.
- BERNAMA