Polis Selesaikan 10 Kes Curi Kereta Dengan Penahanan Tujuh Individu
Kulai, 19 Jun - Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes curi kereta di negeri ini dengan penahanan lima lelaki termasuk dalangnya dan dua wanita di sekitar bandar raya ini, Rabu lepas (15 Jun).
Ketua Polis Johor, Dato' Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kesemua mereka yang berumur 21 hingga 40 tahun itu ditahan menerusi Op Lejang Khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kulai. Polis turut merampas enam kereta daripada mereka yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1 juta.
"Penahanan pertama dilakukan pada 12 tengah hari terhadap seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Anggerik, Kempas, di sini, dan polis merampas sebuah kereta Toyota Altis daripadanya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Wan Ahmad Najmuddin berkata siasatan lanjut terhadap lelaki itu mendedahkan enam lagi individu terlibat sebelum polis menahan lima daripada mereka di beberapa kawasan termasuk Permas Jaya, Taman Mount Austin dan Taman Munsyi Ibrahim, di sini, pada hari sama manakala seorang lagi menyerah diri di IPD Kulai, semalam.
Beliau berkata polis merampas lima kenderaan iaitu Toyota Estima, Nissan Sylphy, Mitsubishi Colt serta dua Toyota Wish daripada mereka.
Wan Ahmad Najmuddin berkata siasatan lanjut mendapati Toyota Estima itu merupakan kereta milik seorang rakyat Singapura yang baru dibeli tiga hari sebelum dilapor hilang di sebuah pusat beli belah di Tampoi, di sini, 7 Jun lepas.
Polis turut merampas pelbagai barangan daripada mereka termasuk tujuh batang
kunci Allen, satu pemotong wayar, lapan kad Touch 'n Go serta tiga kad bank, katanya.
"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya kesemua mereka terlibat dengan jenayah ini sejak tiga bulan lepas dengan menjual kereta terbabit di kawasan utara negeri ini pada harga yang rendah," katanya.
Menurut Wan Ahmad Najmuddin, polis kini sedang memburu baki beberapa individu yang terlibat manakala ketujuh-tujuh yang ditahan itu kini direman bagi membantu siasatan.
- BERNAMA