Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan Dua Beradik Dengan Dadah Bernilai Rm153 000

Diterbitkan: 20 Aug 2014 11.15 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Alor Setar, 20 Ogos - Dua beradik masing-masing berusia 25 dan 27 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Sejati Indah, Sungai Petani Isnin lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-dua-beradik-dengan-dadah-bernilai-rm153-000
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 04:14 MYT

Alor Setar, 20 Ogos - Dua beradik masing-masing berusia 25 dan 27 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Sejati Indah, Sungai Petani Isnin lepas. 

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata dalam serbuan kira-kira pukul 5 pagi itu polis merampas dadah jenis heroin seberat 7.75kg dan syabu seberat 91.22 gram bernilai RM153,000. 

Turut ditahan dua wanita masing-masing berusia 24 dan 50 tahun iaitu adik serta ibu dua suspek lelaki terbabit bagi membantu siasatan. Kedua-dua mereka dibebaskan lewat petang ini dengan jaminan mahkamah kerana tiada kaitan dengan aktiviti dua suspek itu.

Beliau memberitahu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini kecekapan anggota polis menggagalkan cubaan suspek untuk melupuskan dadah yang disimpan di dalam rumah itu.

"Kedua-dua suspek melakukan kegiatan itu sejak enam bulan lepas dan dadah tersebut dipercayai untuk pasaran negeri ini. Suspek tidak ada jenayah lampau dan mereka ditahan reman sehingga 24 Ogos ini untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah Kedah dan Pulau Pinang menumpaskan aktiviti pemerdagangan migran berikutan penangkapan lima suspek berusia 20 hingga 30 tahun di sekitar Sungai Petani dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang Isnin lepas.

Zakaria berkata suspek terdiri daripada dua lelaki tempatan, dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar dan polis turut merampas sebuah Proton Persona, komputer riba, wang tunai RM2,500 dan dua buah telefon bimbit.

Katanya hasil tangkapan itu pihaknya menemui 55 migran iaitu 41 lelaki Myanmar, 10 lelaki Bangladesh, tiga wanita Myanmar dan seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar berusia lima tahun.

"Kesemua migran berusia lima hingga 30 tahun itu yang tiada sebarang dokumen ditemui di dalam sebuah rumah di Sungai Petani dan dipercayai untuk dihantar bekerja di sektor pembinaan dan perladangan di kawasan sekitar," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek terlibat menjalankan aktiviti tersebut sejak dua tahun lepas dan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata Polis Daerah Kubang Pasu menumpaskan sindiket curi motosikal di sekitar daerah itu dan kawasan berhampiran selepas tertangkapnya enam lelaki berusia 15 hingga 42 tahun.

Enam suspek ditahan di lokasi berbeza pada 14 Ogos lepas, dua suspek pertama ditahan di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Kepala Batas di sini dengan pelbagai kelengkapan untuk mencuri motosikal.

Katanya penahanan dua suspek ini hasil maklumat orang awam dan penyiasatan anggotanya sebelum menahan baki suspek di sekitar Jitra yang membawa kepada penemuan enam buah motosikal curi, sebuah Proton Persona dan pelbagai komponen motosikal yang dileraikan. - BERNAMA
ArtikelDiterbitkan 20 Aug 2014 11.15 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM