Artikel
Polis Muar Tahan Kontraktor Binaan Miliki Pistol Tiruan Dadah
Muar, 20 Ogos - Polis menahan seorang kontraktor binaan kerana memiliki sepucuk pistol tiruan dan dadah dalam serbuan di rumah kontraktor itu Jalan Bakariah, d...
Muar, 20 Ogos - Polis menahan seorang kontraktor binaan kerana memiliki sepucuk pistol tiruan dan dadah dalam serbuan di rumah kontraktor itu Jalan Bakariah, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata dalam serbuan pada pukul 1 tengah hari itu, polis turut menjumpai dua paket plastik lut sinar yang dipercayai mengandungi ganja dan syabu.
"Kami merampas pistol tiruan jenama Baby Hi-Capa, model WE berwarna perak.
Turut dirampas 200 butir peluru bentuk bulat kecil berwarna putih, satu kelopak peluru, tiga walkie talkie jenama TYT dan dua walkie talkie jenama Motorola," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini hari ini.
Turut dirampas tiga buah alat pengecas bateri untuk walkie talkie dan satu biji bateri walkie talkie jenama Motorola dalam serbuan itu.
Azman berkata daripada siasatan awal, suspek mengaku memiliki pistol angin tersebut dan barang-barang lain termasuk ketulan ganja dan syabu.
Selain itu, suspek berusia 22 tahun yang sudah berkeluarga itu didapati positif ganja dan dipercayai membeli pistol tersebut dari negara jiran, katanya.
"Dia direman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan," kata Azman dan menurutnya suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Azman berkata tangkapan itu adalah hasil daripada maklumat awam dan risikan melalui Ops Cantas Khas yang dilancarkan dalam minggu ini.
Operasi yang melibatkan 75 pegawai dan anggota IPD Muar itu telah berjaya menangkap 108 orang termasuk 10 warga asing, katanya. - BERNAMA