Polis Tahan 4 Orang Bantu Siasatan
PULAU
PINANG, 25 Mei 2010 -- Polis menahan empat orang termasuk seorang
remaja perempuan berusia 17 tahun bagi membantu siasatan satu kes pecah
rumah di Jalan Selama di sini pada Jumaat lepas.
Ketua
Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kon Meng berkata, kesemua mereka yang
berumur antara 17 dan 24 tahun itu ditahan di sebuah bangsal kosong di
Jalan Kota Giam di sini pada pukul 8.30 malam, dua hari lepas.
"Selepas
penahanan itu polis dibawa ke rumah salah seorang daripada mereka,
seorang lelaki berusia 24 tahun dan menemui seutas jam tangan, barangan
kemas iaitu gelang tangan, loket dan cincin emas yang dipercayai barang
rompakan," katanya kepada pemberita, di sini pada Selasa.
Polis kemudian dibawa ke rumah remaja perempuan terbabit dan menemui dua buah komputer riba dan dua buah kamera digital.
Gan
berkata dalam kejadian Jumaat lepas seorang suri rumah membuat laporan
mengatakan rumahnya dipecah masuk ketika dia sekeluarga keluar makan
malam.
Antara
barang yang dilaporkan hilang ialah barangan kemas, dua buah komputer
riba, kamera digital, seutas jam tangan dan wang tunai matawang asing
berjumlah 395 Euro (EUR1=RM4.12).
Kesemua mereka direman sehingga 26 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.