Pgm Tahan Anggota Din Busut
KOTA
TINGGI, 25 Mei 2010 -- Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua Selasa
menahan lima lelaki dipercayai anggota kumpulan "Din Busut" yang aktif
mencuri enjin sangkut dan bot nelayan tempatan di sekitar perairan
Tanjung Pengelih, dekat Pengerang di sini.
Komandernya
ACP Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata lima suspek rakyat negara jiran
itu ditahan kira-kira pukul 3.10 pagi ini berhampiran Jeti Tentera Laut
Diraja Malaysia, KD Sultan Ismail.
"Berdasarkan
maklumat orang awam, anggota PGM berjaya mengesan sebuah bot yang
sedang menunda sebuah bot lain. Pemeriksaan di dalam bot itu kemudian
menemui beberapa peralatan dipercayai diguna untuk kegiatan mencuri
seperti alat pemotong dan tiga parang panjang," katanya kepada pemberita
di sini.
Mengulas
lanjut, Mohd Khamsani berkata kumpulan itu dipercayai memasuki perairan
negara pada sebelah pagi dengan menyamar sebagai nelayan tempatan
sebelum mencuri bot dan enjin sangkut pada sebelah malam.
Bot dan enjin yang dicuri itu kemudian dijual atau digunakan untuk melakukan rompakan di laut, katanya.
"Kegiatan
mencuri bot dan enjin nelayan semakin berleluasa tahun ini dengan 13
kes dilaporkan berlaku di Felda Air Tawar, Felda Adela dan Telok Sengat
sejak awal tahun," katanya.
Beliau
berkata kesemua lelaki dianggar berumur antara 20 dan 43 tahun yang
tidak mempunyai sebarang dokumen itu ditahan di Balai Polis Pengerang
untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c)
Akta Imigresen 1959/63.
Mohd Khamsani juga tidak menolak kemungkinan ada anggota kumpulan itu yang masih bebas.