Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Senjatapi Bom Tangan Ditemui

Diterbitkan: 13 Jun 2014 6.30 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Selain memperoleh wang tunai berjumlah RM54,000 itu, polis turut menemui dua laras raifal AK-47 buatan China, dua pucuk revolver .38, beberapa butir peluru dan dua butir bom tangan dalam serbuan di se..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/senjatapi-bom-tangan-ditemui
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 06:29 MYT

PULAU PINANG 23 Mei 2010 - Selepas tiga hari berlaku kes rompakan wang tunai RM160,000 dari sebuah van keselamatan di Jalan Paya Terubong di sini, polis berjaya menemui semula sebahagian daripada wang itu dan menahan dua lelaki lagi, semalam.

Selain memperoleh wang tunai berjumlah RM54,000 itu, polis turut menemui dua laras raifal AK-47 buatan China, dua pucuk revolver .38, beberapa butir peluru dan dua butir bom tangan dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Dua.

Dengan penahanan terbaru itu, polis telah menahan seramai tujuh individu sehingga kini termasuk seorang wanita berusia antara 38 dan 50 tahun.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, kejayaan itu diperoleh hasil risikan dan maklumat seorang pengawal keselamatan yang ditahan kelmarin.

"Awal pagi semalam kami menahan dua lelaki, termasuk seorang warga Indonesia di dua lokasi berbeza dan menemui semula wang tunai RM44,000.

"Susulan itu, polis menahan seorang wanita yang bekerja sebagai pengusaha sebuah salon di Bukit Jambul dan menemui wang tunai RM10,000. Dia dipercayai isteri kepada salah seorang suspek," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Menurut Ayub, polis juga telah menyerbu sebuah lagi rumah di Jalan Sungai Nibong, Sungai Dua dan menahan beberapa suspek lagi.

"Di sanalah kami menemui senjata, peluru dan bom tangan yang masih aktif dalam timbunan batu-bata di belakang rumah.

"Kami juga menemui kelengkapan seperti pakaian kalis peluru buatan sendiri diperbuat daripada kepingan-kepingan plat besi yang dimasukkan ke dalam jaket semasa melakukan samun," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Dalam kejadian Rabu lalu, tiga lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan raifal berjaya melarikan wang tunai RM160,000 dari sebuah van keselamatan di Jalan Paya Terubong, Air Itam di sini dalam tempoh hanya tiga minit.

Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika van berkenaan dengan tiga pengawal yang bertugas sedang melakukan kutipan harian di dua buah pasar raya di Bayan Baru dan Taman Lip Sin di sini.

Keesokan harinya, polis menahan seorang pengawal keselamatan berusia 50 tahun bagi membantu siasatan.

Ayub berkata, berdasarkan penemuan senjata dan kelengkapan itu, beliau percaya penjenayah berkenaan adalah ganas dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membuat serangan balas.

Beliau memberitahu, polis masih menjalankan siasatan bagi mencari saki baki anggota kumpulan itu seterusnya mendapatkan semula baki wang rompakan.

"Kami percaya kumpulan itu pernah terbabit dengan beberapa kes jenayah lain termasuk kes samun dari van keselamatan yang berlaku beberapa minggu lepas di Pulau Pinang," ujarnya

ArtikelDiterbitkan 13 Jun 2014 6.30 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM