Article
Polis Selangor Rampas Dadah Bernilai Rm72 2 Juta Sehingga No
SHAH ALAM, 30 Dis (Bernama) -- Sepanjang tahun ini sehingga November lepas, Polis Selangor berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM72....
Ironinya, angka sebesar itu tidak mendatangkan kegembiraan kepada Ketua Polis Negeri Datuk Tun Hisan Tun Hamzah yang berkata: "Ada yang tidak kena dengan masyarakat kita."
Merujuk kepada peningkatan jumlah tangkapan berbanding tahun lalu seramai 16,883 orang, beliau berkata sepatutnya angka itu menurun memandangkan polis kini memperhebatkan gerakan memerangi dadah.
"Sepatutnya bila kita lancar perang, dadah akan menurun tapi nampaknya semakin banyak tangkapan. Ini tidak sihat untuk negara," katanya pada sidang media, di sini Khamis.
Beliau berkata jumlah mereka yang ditahan kerana disyaki mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 juga meningkat kepada 786 orang berbanding 641 orang tahun lepas, manakala nilai harta yang dirampas daripada pengedar dadah pula sekitar RM8 juta.
Bagi tempoh itu juga seramai 128 'keldai dadah' ditahan dan daripada jumlah itu 107 adalah lelaki, 20 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.
Mereka berasal dari 13 negara iaitu Iran, India, Pakistan, Turki, Bulgaria, Uzbekistan, Thailand, Togolaise, Nigeria, Kenya, Zimbabwe, Papua New Guinea dan Indonesia, katanya.
Seramai 124 daripada mereka telah dihadapkan ke mahkamah, tiga dikenakan tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas, manakala kanak-kanak perempuan itu dibebaskan, kata beliau.