Polis Rampas Pistol Buatan Sendiri Sebutir Peluru Di Premis
Alor Setar, 4 Julai - Polis merampas sepucuk pistol buatan sendiri
dan sebutir peluru 'penabur' daripada seorang lelaki berusia 21 tahun
di sebuah premis kereta sewa di Jalan Datuk Kumbar Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, polis menerima panggilan daripada seorang pekerja yang terjumpa sarung pistol dalam kereta jenis Proton Satria Neo yang disewa suspek.
Beliau
berkata pekerja itu bertindak menahan suspek yang berasal dari Kuala
Kedah itu kerana enggan membayar sewa kereta sebelum polis tiba bagi
melakukan pemeriksaan lanjut.
"Hasil
pemeriksaan lanjut, kita jumpa sepucuk pistol buatan sendiri jenis
'pistol kerbau' yang diselit pada pinggang suspek," katanya kepada
pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar hari
ini.
Adzaman
berkata pihaknya masih menyiasat sama ada suspek terlibat dalamkegiatan
pengedaran dadah atau jenayah lain dan lelaki yang bekerja sebagai
pesawah itu ditahan reman mulai semalam hingga 10 Julai ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) akta sama.
Mengulas
dakwaan berhubung dakwaan berlaku penderaan terhadap 13 penghuni sebuah
rumah kebajikan persendirian di sini, Adzaman berkata setakat ini
pihaknya menerima lapan laporan polis berhubung perkara itu.