Polis Rampas Pistol 10 Butir Peluru Daripada Seorang Lelaki
Kuala Lumpur, 14 Jun - Polis merampas sepucuk pistol dan 10 butir peluru
daripada seorang lelaki berusia 52 tahun yang ditahan ketika memandu
dalam keadaan mencurigakan di Taman Midah, Cheras di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata lelaki itu ditahan oleh pasukan peronda polis pada pukul 10.30 malam dan hasil pemeriksaan menemukan sepucuk pistol Baretta 9mm bersama 10 butir peluru hidup.
Siasatan
awal juga mendapati kereta Mercedez Benz yang dipandu lelaki itu
dipercayai dicuri, katanya pada sidang media, di sini hari ini.
"Hasil
ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis meth
tetapi tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya menambah
suspek tidak mempunyai permit untuk menyimpan senjata api.
Beliau berkata suspek direman sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
- BERNAMA