Polis Tahan Lima Lelaki Selamatkan Mangsa Culik
Shah Alam, 14 Jun - Polis menahan lima lelaki dan menyelamatkan seorang mangsa culik yang dikurung selama 10 hari, dalam serbuan di Kondominium Simfoni Heights, Selayang awal pagi semalam.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata
kesemua suspek berumur antara 23 dan 28 tahun manakala mangsa, seorang
lelaki berumur 25 tahun, diculik pada 3 Jun lepas.
Katanya suspek didakwa meminta wang tebusan bernilai RM500,000 daripada bapa mangsa.
Mohd
Adnan berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 28
tahun di tempat letak kereta kondominium berkenaan kira-kira pukul 12
tengah malam Khamis dan setengah jam kemudian polis menahan tiga lagi
lelaki berumur antara 23 dan 28 tahun di kawasan yang sama.
"Kira-kira
15 minit kemudian, polis menyerbu sebuah unit kondominium berkenaan di
Blok E25 dan menahan seorang lagi lelaki berumur 27 tahun sebelum
berjaya menemui dan menyelamatkan mangsa," katanya dalam sidang akhbar
di Pusat
Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Semasa ditemui, mangsa berada dalam keadaan lemah setelah dikurung di dalam sebuah bilik di unit kondominium berkenaan.
Beliau
berkata polis sebelum itu menerima laporan daripada bapa mangsa yang
bekerja sendiri pada 3 Jun lepas, memaklumkan anaknya diculik di Plaza
Tol Gombak.
"Polis
merampas dua jenis kenderaan iaitu Perodua MyVi dan Pajero daripada
suspek terbabit dan kita masih menyiasat kemungkinan mangsa mengenali
suspek.
Mohd
Adnan berkata tiga daripada suspek terbabit mempunyai rekod jenayah
lampau antaranya membabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata kesemua mereka ditahan reman sehingga 19 Jun ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.
- BERNAMA