Polis Rampas 28 8 Kg Dadah Bernilai Rm 6 3 Juta
Alor
Setar, 16 Mei - Polis Kedah merampas 28.8 kilogram dadah dipercayai
syabu bernilai RM6.3 juta di Km 36.1 Lebuhraya Utara-Selatan, di Kepala
Batas, Jitra kelmarin.
Timbalan
Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata rampasan itu adalah
yang terbesar bagi polis Kedah dalam tempoh lima tahun, dan dadah
terbabit dipercayai hendak dibawa ke Kuala Lumpur.
Rampasan
itu susulan pemeriksaan ke atas sebuah kereta dipandu seorang lelaki,
yang ditahan unit polis peronda lebuh raya di Km 22 lebuh raya
berkenaan, berhampiran Kampung Natoi, Jitra, pada pukul 11.30 pagi.
Katanya
susulan kes itu, polis sedang menjejaki Lim Lek Kiea, 47, memegang kad
pengenalan bernombor 660302-02-5005 dengan alamat terakhir di 297A,
Padang Lembu, Gurun @ 99, Lorong Mesra 6, Taman Ria Mesra, Gurun.
Sesiapa
yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi Pegawai
Penyiasat ASP Ishak Ali di talian 019-4742725 atau Ibu Pejabat Polis
Daerah Kubang Pasu di talian 04-9172222 atau balai polis terdekat. Kes
disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Anggota
polis memeriksa kad pengenalan dan lesen memandu suspek. Selepas
diminta untuk membuka ruang penyimpanan barang kereta, suspek masuk ke
dalam kereta dan melarikan diri (sejauh 14 km) sebelum memberhentikan
kereta di Km 36.1 Lebuhraya Utara Selatan selepas merempuh penghadang
tol," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya
lelaki itu kemudian melarikan diri ke kawasan kampung berhampiran dan
pemeriksaan polis ke atas kereta yang ditinggalkannya menemukan dua buah
beg, masing-masing mengandungi 14 ketulan dadah jenis syabu. - BERNAMA