Polis Pulau Pinang Tumpas Sindiket Pintasan Cek Kaut Untung
George
Town, 18 Jun - Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pintasan
cek, yang mengaut untung lebih RM1 juta, dalam serbuan di sebuah hotel
di Jalan Macalister di sini semalam.
Ketua
Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis menahan dua
lelaki berumur lingkungan 30 hingga 35 tahun dipercayai dalang sindiket berkenaan yang aktif, dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil pada 11.30 malam.
Beliau
berkata kegiatan yang dilakukan secara terancang itu menggunakan modus
operandi mencuri cek di peti surat tidak berkunci di premis pejabat
selain mengambil surat yang mempunyai kad juruwang automatik (ATM) dan
kad kredit.
Cek
yang dicuri akan dipinda dengan cara mengikis menggunakan mata pisau
dan pita pelekat bagi menanggalkan nombor di permukaan cek.
"Suspek
akan menulis akaun bank yang baharu dan cek-cek itu akan dimasukkan
kepada rakan suspek yang dikenali bertujuan untuk menumpang akaun bagi
menunaikan cek.
"Malah
pemilik akaun akan diberikan komisen 30 peratus di atas setiap cek yang
dimasukkan itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul
Rahim berkata polis juga sedang memburu dua lagi individu berusia 30-an
yang terlibat dengan kegiatan berkenaan, dan sindiket itu dipercayai
beroperasi sejak dua tahun lepas di beberapa negeri antaranya Selangor,
Kuala Lumpur, Johor dan Melaka.
Beliau
berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa peralatan yang
dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan seperti 329
cek pelbagai bank bernilai RM534,409 dan 11 kad kredit pelbagai bank
yang menggunakan nama orang lain.
"Kita
juga turut merampas pelbagai peralatan termasuk satu unit komputer
riba, sembilan keping kad ATM, sebuah kereta jenis Honda Accord, wang
tunai berjumlah RM400 selain pencetak bersama kabel serta alat tulis
yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan," katanya.
Abdul
Rahim berkata dua lelaki, yang masing-masing berasal dari Melaka dan
Selangor, ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420
Kanun Keseksaan.
"Siasatan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan 10 kes dan memang dikehendaki polis," katanya.
Beliau
berkata polis menasihatkan mana-mana syarikat yang mendapati cek mereka
tidak dilunaskan untuk pembayaran, agar datang ke balai polis membuat
laporan selain memastikan peti surat sentiasa berkunci.
Sumber : BERNAMA