Lelaki Disyaki Pengedar Dadah Diberkas Di Surau
Kuantan,
18 Jun - Seorang peniaga ayam yang disyaki terbabit dalam pengedaran
dadah diberkas di sebuah surau di Kampung Batu 4 1/2 Jalan
Kuantan-Gambang di sini.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Yap Thoon Kuan berkata
dalam serbuan 5 petang Sabtu lepas itu, polis menemui ganja seberat 473
gram yang disembunyikan suspek, 49, di dalam tandas surau berkenaan.
"Susulan
penangkapan suspek itu, polis juga menjalankan pemeriksaan di rumahnya
yang terletak tidak jauh dari surau itu dan kami menemui 234 gram lagi
ganja yang disorok dalam semak tepi rumahnya," katanya kepada pemberita
di sini, hari ini.
Beliau
berkata kesemua ganja yang dirampas seberat 707 gram bernilai RM2,100
dan siasatan mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah serta positif
dadah.
Dalam
kes berasingan, polis menahan empat lelaki berusia antara 25 dan 40
tahun di sebuah rumah di Kota Perdana dekat Pekan Ahad lepas, dan
merampas lapan biji pil eramin 5 bernilai RM120 di dalam dompet seorang
daripada lelaki itu.
"Hasil
pemeriksaan lanjut, polis turut menemui sebuah beg di beranda rumah itu
yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 3.4 gram bernilai RM4,500
dan heroin seberat 47.9 gram bernilai RM3,800," kata Yap.
Beliau berkata dua daripada suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka direman sehingga 23 Jun.
Sumber : BERNAMA