Polis Tahan Lima Lelaki Disyaki Terlibat Pergaduhan Dan Baka
George
Town, 18 Jun - Polis menahan lima lelaki yang disyaki terlibat dalam
pergaduhan dan membakar sebuah kereta serta dua motosikal di Ladang
Changkat, Nibong Tebal di sini Ahad lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata lima
lelaki berusia 17 hingga 56 tahun itu ditahan di sekitar Nibong Tebal, dekat sini beberapa jam selepas kejadian itu.
Beliau
berkata polis kini mencari empat lagi lelaki yang dipercayai terlibat
dalam kejadian itu. Mereka ialah S.Vijayan, 33, beralamat terakhir di no
2725 Ladang Byram, Nibong Tebal manakala tiga lagi hanya dikenali
sebagai Saravan, Jacob dan Esso.
"Kejadian
pada pukul 6.20 petang itu berlaku apabila sekumpulan lelaki menahan
sebuah kereta dan dua motosikal yang masing-masing dipandu dan
ditunggang seorang lelaki.
"Berlaku
pertengkaran antara kumpulan berkenaan dan tiga lelaki terbabit, mereka
dipercayai mengenali antara satu sama lain serta mempunyai beberapa
krisis lama," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau
berkata akibat pertengkaran itu, kumpulan lelaki terbabit bertindak
memukul tiga lelaki berkenaan dengan parang dan kayu, bagaimanapun
mangsa berjaya menyelamatkan diri.
Mazlan
berkata berikutan marah kerana tiga lelaki itu berjaya menyelamatkan
diri, kumpulan yang terdiri kira-kira 10 lelaki itu bertindak merosak
dan membakar kereta serta motosikal milik mangsa yang ditinggalkan di
tempat kejadian.
"Kejadian
itu tidak berakhir di situ sebaliknya kumpulan lelaki terbabit telah
pergi ke rumah kakak seorang daripada tiga lelaki berkenaan yang
terletak berhampiran Ladang Changkat," katanya.
Beliau
berkata mereka bertindak menyerang wanita berkenaan dan anak saudaranya
yang cuba membantu turut dipukul sehingga mereka mengalami kecederaan
dan mendapat rawatan di Hospital Sungai Bakap.
Sumber : BERNAMA