Polis Pulau Pinang Pantau 14 Geng Kongsi Gelap
Bukit Mertajam, 20 April - Polis Pulau Pinang sentiasa memantau pergerakan 14 kumpulan kongsi gelap yang dikenal pasti bergerak aktif di negeri ini, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.
Beliau berkata polis mempunyai data lengkap dari segi penglibatan serta pergerakan kumpulan geng kongsi gelap berkenaan.
"Saya ingin beri amaran kepada geng-geng kongsi gelap itu agar tidak mengganggu ketenteraman awam ... saya tidak akan berkompromi dengan mereka.
"Polis tahu pergerakan mereka malah mempunyai data lengkap berhubung maklumat ahli serta organisasi mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam yang merupakan pusat penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, di sini hari ini.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti geng kongsi gelap di Pulau Pinang agar tampil membantu polis.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilapor mengarahkan polis memerangi kumpulan samseng dan kongsi gelap di seluruh negara terutama di negeri-negeri yang dikenal pasti menjadi lokasi panas aktiviti gengsterisme.
Sementara itu, Abdul Rahim memberi amaran keras kepada geng kongsi gelap dan kumpulan samseng agar tidak menimbulkan ketegangan serta menggugat ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
"Ketika ini pergerakan lima geng kongsi gelap dan tujuh kumpulan samseng dikenal pasti aktif di kawasan Permatang Pauh.
"Pegawai-pegawai saya mengawasi mereka dari semasa ke semasa ... jangan cuba timbulkan ketidaktenteraman dan kami akan ambil tindakan mengikut undang-undang," katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat apabila Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal 3 Mei.- BERNAMA