Polis Tingkat Rondaan Bendung Kecurian Motosikal Di Hsah
Sungai Petani, 20 April - Polis akan mempertingkatkan rondaan di kawasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, dalam usaha membendung peningkatan kejadian kecurian motosikal yang diparkir di tempat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Khalil Ariffin berkata pihaknya dimaklumkan banyak kes kecurian motosikal berlaku di HSAH, namun tidak ramai tampil membuat laporan polis.
"Polis tetap mengambil berat berhubung perkara ini dan akan meningkatkan serta memperluaskan skop rondaan untuk memantau kawasan hospital dan kawasan berhampiran.
"Kita akan bekerjasama dengan pengurusan hospital dalam menangani perkara ini kerana kecurian yang berlaku di sini, bukan sahaja melibatkan pelanggan hospital tetapi juga kakitangan HSAH," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai lawatan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda ke HSAH, bersempena sambutan Hari Polis ke-208, hari ini.
Khalil berkata sehingga Mac tahun ini, hampir 10 kes kecurian motosikal dilaporkan berlaku di HSAH.
Terdahulu, Khalil bersama warga IPD Kuala Muda membuat lawatan ke wad kanak-kanak serta menyampaikan sumbangan termasuk kepada seorang anggota polis yang mendapatkan rawatan di HSAH.
"Lawatan ini diharap dapat mengeratkan lagi jalinan silaturahim antara polis dan pengurusan hospital, selain dapat saling bertukar maklumat dan pandangan untuk mencegah kecurian dan jenayah di HSAH," katanya.- BERNAMA